Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Hibah TH Ketika Defisit Kekal Hak Pendeposit, Tidak Haram Atau Syubhah - Pejabat Mufti WP

PENDEPOSIT
Kredit: Bernama

Wang hibah yang diterima pendeposit Lembaga Tabung Haji (TH) ketika institusi itu berdepan defisit kewangan pada tahun-tahun tertentu kekal sah sebagai hak mereka dan tidak dikategorikan sebagai harta haram atau syubhah.

Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan berkata, perkara itu berdasarkan penelitian Fiqh Muamalat terhadap penemuan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan pengurusan dan operasi TH bagi tempoh 2014 hingga 2020.

Menurut kenyataan itu, pendedahan RCI berhubung kelemahan tadbir urus dan pengurusan kewangan TH menimbulkan persoalan dalam kalangan pendeposit mengenai status hibah yang diterima ketika wujud dakwaan pembayaran hibah tidak mematuhi ketetapan Akta Tabung Haji 1995.

Jelasnya, pada tempoh berkenaan, kontrak antara pendeposit dengan TH adalah berasaskan Wadi’ah Yad Dhamanah (Simpanan Berjaminan).

“Dalam kerangka fiqh muamalat, TH dianggap meminjam wang daripada pendeposit untuk digunakan bagi tujuan pelaburan dan lain-lain.

“Oleh itu, TH tidak boleh menjanjikan sebarang keuntungan, sebaliknya pulangan yang diberikan kepada pendeposit berstatus hibah yang bersifat sukarela,” menurut kenyataan itu.

Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan berkata, apabila hibah yang telah diisytiharkan dimasukkan ke dalam akaun pendeposit, ia dianggap telah berlaku qabd atau penerimaan yang sempurna.

Katanya, keadaan itu sekali gus menjadikan wang berkenaan sah sebagai hak milik pendeposit.

Menurutnya, kegagalan mematuhi piawaian perakaunan atau pelanggaran undang-undang oleh pihak pengurusan tidak membatalkan keabsahan akad hibah tersebut dari sudut syarak.

“Wang hibah yang telah diterima oleh para pendeposit pada tahun-tahun defisit tersebut adalah sah sebagai milik mereka.

“Wang tersebut tidak dikategorikan sebagai harta haram atau syubhah yang wajib dipulangkan kerana penerimaannya berasaskan akad hibah yang telah sempurna syarat penyerahannya,” katanya.

Dalam pada itu, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan berkata, jemaah yang menunaikan ibadah haji menggunakan wang hibah yang diterima dalam tempoh berkenaan tidak perlu bimbang kerana ibadah haji mereka adalah sah dan tidak terjejas.

Sementara itu, RCI sebelum ini mendedahkan isu berkaitan pengurusan kewangan TH termasuk penggunaan kaedah Nilai Aset Boleh Direalisasikan (RAV) bagi tujuan pembayaran hibah.

Menurut kenyataan itu, penggunaan kaedah berkenaan membolehkan TH melaporkan keuntungan RM3.4 bilion bagi tahun kewangan 2017, sedangkan berdasarkan penggunaan piawaian MFRS secara telus, institusi itu dikatakan mengalami kerugian bersih RM1.4 bilion pada tahun sama.

Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan berkata, isu berkaitan salah tadbir urus, ketidakpatuhan akta dan pelaporan perakaunan kreatif adalah tanggungjawab pihak pengurusan pada ketika itu.

Jelasnya, perkara tersebut bukan tanggungjawab pendeposit atau orang awam yang tidak mengetahui keadaan kewangan dalaman institusi berkenaan.

Dalam perkembangan berkaitan, langkah TH beralih kepada kontrak Wakalah bermula Disember 2019 disifatkan sebagai tindakan tepat bagi memperkemas mekanisme pengagihan pulangan.

Melalui kontrak Wakalah, TH bertindak sebagai ejen pelaburan dan pulangan diagihkan berdasarkan keuntungan bersih sebenar hasil pelaburan, bukannya atas dasar hibah sukarela.

“Sekiranya berlaku keadaan tiada keuntungan atau defisit pada masa hadapan, TH secara automatik tidak boleh mengagihkan sebarang pulangan.

“Hal ini menutup ruang amalan tidak cermat, meningkatkan kehematan dan memastikan ketelusan sepenuhnya,” menurut kenyataan itu.

Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan turut menegaskan isu berkenaan perlu menjadi titik tolak kepada usaha memperkukuh tadbir urus dan integriti dalam pengurusan institusi Islam di Malaysia, khususnya dalam aspek penjagaan amanah dan ketelusan kewangan.