Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Hong Kong terus mengukuhkan kedudukannya sebagai salah satu destinasi mesra Muslim terkemuka dunia apabila berjaya meraih tempat kedua dalam kategori Destinasi Mesra Muslim (Bukan Pertubuhan Kerjasama Islam, Non-OIC) di Halal in Travel Awards 2026.
Anugerah tersebut disampaikan sempena Halal in Travel Global Summit di Singapura, di mana CrescentRating, antara badan rujukan utama dunia dalam pelancongan halal bersama Mastercard telah melancarkan Global Muslim Travel Index (GMTI) 2026. Pencapaian ini merupakan peningkatan daripada kedudukan ketiga yang dicapai Hong Kong tahun lalu, sekali gus mencerminkan usaha berterusan bandar raya itu dalam menawarkan pengalaman pelancongan yang lebih inklusif dan lancar untuk pelancong Muslim.
Hong Kong turut menduduki tempat pertama dalam kategori Destinasi Pelancongan Mesra Muslim untuk Wanita (Non-OIC) di peringkat global serta terus mengekalkan kedudukannya sebagai peneraju dalam kategori Destinasi Pelancongan Mesra Muslim dan Mudah Diakses (Non-OIC).

Peningkatan kedudukan Hong Kong didorong oleh rangkaian kemudahan dan penawaran mesra Muslim yang semakin meluas di seluruh bandar, termasuk di lokasi pelancongan utama dan infrastruktur pelancongan. Sehingga kini, Hong Kong mempunyai hampir 290 premis yang diperakui halal, termasuk 222 restoran halal dan milik Muslim di seluruh bandar serta 61 hotel yang menerima penarafan CrescentRating.
Komitmen Hong Kong terhadap pelancongan mesra Muslim turut terserlah menerusi kejayaan beberapa pemain industri pelancongan tempatan yang menerima pengiktirafan dalam anugerah tahun ini, antaranya:
Hab Pengangkutan Mesra Muslim 2026 – Kai Tak Cruise Terminal
Hotel Mesra Muslim 2026 – Dorsett Tsuen Wan Hong Kong
Tarikan Mesra Muslim 2026 – Ocean Park Hong Kong



Seiring dengan peningkatan pengiktirafan ini, ketibaan pelawat dari Malaysia meningkat sebanyak 9.7% tahun ke tahun pada suku pertama 2026, mencerminkan minat yang semakin tinggi terhadap penawaran mesra Muslim di Hong Kong.
Peter Lam, Pengerusi HKTB berkata, “Kami berbesar hati melihat Hong Kong terus mencatat kemajuan dalam mempromosikan pelancongan mesra Muslim, di samping menerima pengiktirafan antarabangsa secara berterusan. Anugerah-anugerah ini mencerminkan usaha bersepadu Kerajaan, HKTB serta pemain industri pelancongan.
Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada rakan-rakan industri yang menerima pengiktirafan ini, serta mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan atas sokongan berterusan dan kepada pihak industri atas penglibatan aktif mereka.
Melangkah ke hadapan, HKTB akan terus memperkukuh strategi ‘akreditasi, pendidikan dan promosi’ dengan mengekalkan kerjasama rapat bersama industri pelancongan, sektor makanan dan minuman, serta industri berkaitan pelancongan yang lain.
Usaha ini bertujuan menggalakkan pengenalan lebih banyak kemudahan dan pilihan makanan mesra Muslim. Langkah ini akan membantu memperkasakan pelancongan Muslim, mengukuhkan kedudukan Hong Kong sebagai destinasi pelancongan mesra Muslim, serta menarik lebih ramai pelawat ke Hong Kong.”
Melengkapkan lagi pencapaian ini, kempen “Jelajah Hong Kong” oleh HKTB telah memenangi anugerah Kempen Pemasaran Pelancongan Halal Terbaik 2026, sebagai pengiktirafan terhadap kejayaannya mendekati pelancong Muslim menerusi penceritaan autentik, kandungan destinasi yang disusun khas serta sumber pelancongan yang praktikal.
Selaras dengan semangat Discover Hong Kong, kempen ini menampilkan mesej yang lebih dekat dengan budaya dan nilai masyarakat Muslim di Asia Tenggara. Melalui pendekatan berpaksikan khalayak sasaran, Hong Kong berjaya mengetengahkan pelbagai pengalaman mesra Muslim yang ditawarkan kepada pelancong serantau.
Antara sorotan utama kempen ini ialah penerbitan video muzik Hari Raya pertama yang dirakam sepenuhnya di Hong Kong, hasil kerjasama bersama artis Malaysia, Ernie Zakri dan Syamel Aqmal. [Untuk dikemas kini mengikut pasaran]
Kempen ini turut disokong oleh pelbagai sumber rujukan khusus seperti bahagian Muslim Travel di DiscoverHongKong.com dan Panduan Pelancongan Muslim Hong Kong dalam format digital. Sumber-sumber ini memudahkan pelancong mencari restoran yang diperakui halal, kemudahan solat, tarikan mesra Muslim, pilihan penginapan serta cadangan itinerari yang sesuai.

Daripada menikmati hidangan Kantonis halal autentik dan sajian antarabangsa, hinggalah mengunjungi tarikan bertaraf dunia yang dilengkapi kemudahan solat serta fasiliti mesra Muslim, pelancong Muslim kini mempunyai lebih banyak pilihan untuk menikmati pengalaman percutian yang selesa di Hong Kong.
Daripada menikmati pemandangan ikonik di Victoria Peak, membeli-belah di kawasan tumpuan popular, meluangkan masa bersama keluarga di Ocean Park Hong Kong, meneroka kawasan kejiranan yang kaya dengan warisan budaya atau memulakan pelayaran melalui Kai Tak Cruise Terminal yang memenangi anugerah, pengunjung boleh menikmati pengalaman pelancongan lebih mesra dan menyenangkan di seluruh bandar.

Seiring dengan usaha berterusan Hong Kong memperluaskan penawaran mesra Muslim dan memperkukuh kerjasama dengan rakan industri, bandar raya ini komited untuk memastikan pelancong dari Malaysia dan seluruh dunia dapat menikmati pengalaman terbaik ditawarkan Hong Kong dengan mudah, selesa dan penuh ketenangan.
Untuk maklumat lanjut serta sumber rujukan pelancongan mesra Muslim, layari laman Muslim Travel Discover Hong Kong dan muat turun Panduan Pelancongan Muslim Hong Kong.