Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Hong Kong Lancar "Hong Kong Mega 8", Ibu Kota Acara Asia

HONG KONG

Hong Kong Lancar "Hong Kong Mega 8", Ibu Kota Acara Asia

Lembaga Pelancongan Hong Kong (HKTB) mengetengahkan kalendar acara dinamik bandar raya ini menerusi kempen “Hong Kong Mega 8”, iaitu barisan lapan acara seni, budaya dan sukan bertaraf dunia yang berlangsung sepanjang Mac dan April.

Dengan menghimpunkan pameran antarabangsa utama serta pelbagai aktiviti di kejiranan tempatan, kempen ini mengajak pelancong Malaysia menikmati pengalaman Hong Kong melangkaui mercu tanda ikoniknya, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai “Ibu Kota Acara Asia”.

Dr Peter Lam, Pengerusi HKTB, berkata, “Melalui kempen ‘Hong Kong Mega 8’, HKTB menghimpunkan acara mega seni dan sukan serta program seluruh bandar bagi menyerlahkan sepenuhnya kekuatan Hong Kong sebagai ‘Ibu Kota Acara Asia’. Buat julung kalinya, HKTB bekerjasama dengan Art Basel untuk membawa seni digital ke kejiranan tempatan.

Kami ingin merakamkan penghargaan kepada Hongkong Land atas sokongan padu mereka, yang membolehkan seni awam bertaraf dunia dibawakan ke tengah-tengah Central. Kami juga akan bekerjasama dengan rakan perdagangan dan industri merentasi pelbagai sektor untuk memperkenalkan serta mempromosikan pengalaman pelancongan bandar yang pelbagai.

Matlamat kami adalah untuk memaksimumkan manfaat ekonomi daripada acara mega ini dengan mempertingkat pengalaman pelawat, menggalakkan mereka melanjutkan tempoh penginapan di Hong Kong, serta mewujudkan lebih banyak peluang perniagaan untuk industri pelancongan tempatan dan sektor-sektor berkaitan.”

Seni Melangkaui Galeri ke Seluruh Bandar Menerusi Unjuran Seni Percuma

Salah satu sorotan utama ialah kerjasama sulung HKTB dengan Art Basel Hong Kong, yang membawa seni digital melangkaui dewan pameran dan ke kejiranan Hong Kong. Sebagai sebahagian daripada inisiatif ini, Art Basel membawakan program “Zero 10” dari Art Basel Miami Beach ke Hong Kong untuk penampilan sulungnya di Asia, menampilkan karya digital yang menggabungkan kod, cahaya dan bunyi.

Menjelang pameran tersebut, HKTB dan Art Basel telah melancarkan Digital Art @Central dengan unjuran berskala besar di Central, termasuk DeePle the People, karya animasi baharu oleh artis Korea Selatan, DeeKay. Karya ini akan dipaparkan pada fasad Bangunan Hong Kong Club dari 24 hingga 29 Mac, antara jam 7 malam hingga 11 malam setiap hari, menawarkan pengalaman percuma dan imersif di tengah bandar.

Diilhamkan oleh kehidupan jalanan Hong Kong, karya ini menampilkan kira-kira 100 watak yang direka secara unik dan menggabungkan elemen daripada acara-acara ikonik bandar tersebut, sekali gus menggambarkan kepelbagaian dan rentak kehidupan Hong Kong.

Panduan Seni Tempatan Menggalakkan Penerokaan yang Lebih Mendalam

Dalam pada itu, HKTB turut bekerjasama dengan Art Central untuk melancarkan Hong Kong Art Month Discovery Guide dalam format digital. Panduan ini menyediakan maklumat pelancongan sehenti dan menghimpunkan pelbagai acara menarik di daerah seni seluruh bandar, termasuk pameran galeri, pameran khas muzium dan program seni persembahan di Central, Sheung Wan, Wan Chai, Tai Hang, Southern District, Tsim Sha Tsui dan West Kowloon Cultural District.

Panduan ini juga merangkumi cadangan tempat makan berhampiran, sekali gus membolehkan pelancong merancang itinerari budaya yang lebih lancar. Art Central turut menawarkan pakej pelancongan dan pengalaman yang merangkumi penginapan, makanan, tarikan serta pengangkutan bagi memudahkan perjalanan seni dan budaya di Hong Kong.

Pengalaman Seni dan Budaya Seluruh Bandar Merentasi Pelbagai Daerah

Di seluruh bandar, program berteraskan kejiranan menambah kedalaman kepada pengalaman yang ditawarkan:

  • ArtHouse Tai Hang 2026: Mengubah 10 rumah bersejarah di Tai Hang menjadi hab pop-up seni dan sajian tempatan, dengan pameran seni, instalasi, lawatan berpandu, sesi perkongsian dan persembahan.

  • Art Walk in Central: Mengajak pengunjung menelusuri semula arca-arca ikonik dalam portfolio Hongkong Land menerusi lawatan berpandu, jelajah berasaskan persembahan dan karya seni awam. Pengalaman ini menggalakkan pengunjung meneroka bandar dengan berjalan kaki sambil mendekati budaya tempatan dengan lebih dekat. Di LANDMARK Atrium, artis Ayako Rokkaku akan mempersembahkan penampilan solo sulungnya serta instalasi seni interaktif terbesar beliau. Program ini akan diakhiri dengan OPEN dan trak Art on the Move, iaitu sambutan jalanan terbuka yang dinamik di Chater Road pada 29 Mac.

  • M+: Menampilkan Lee Bul: From 1998 to Now, yang menelusuri evolusi amalan seni artis berkenaan, bersama Zao Wou-Ki: Master Printmaker, retrospektif utama pertama karya grafik artis itu di Asia.

  • Muzium Istana Hong Kong: Mempersembahkan Heavenly Horses: Masterpieces from the Palace Museum, yang meraikan legasi seni lukisan kuda Cina.

  • WestK FunFest: Kembali dari 19 Mac hingga 12 April 2026 dengan lebih 120 program seni dan budaya mesra keluarga, termasuk penampilan sulung di Asia bagi sebuah instalasi interaktif berskala besar.

Platform Sehenti Memperkaya Pengalaman Pelawat Terhadap Acara Seluruh Bandar

Kempen “Hong Kong Mega 8” menawarkan sebab yang kukuh untuk berkunjung ke Hong Kong dalam tempoh ini, khususnya bagi mereka yang mencari pengalaman pelancongan berteraskan budaya, percutian singkat atau pengalaman berasaskan acara.

Pelancong boleh meneroka senarai penuh acara, itinerari dan tawaran istimewa menerusi portal rasmi HKTB:https://www.discoverhongkong.com/eng/what-s-new/events/hong-kong-mega-8.html