Kaspersky melancarkan Kaspersky AI Protect (KAIP) di rantau Asia Pasifik bagi membantu perusahaan melindungi infrastruktur kecerdasan buatan (AI) daripada ancaman siber yang semakin berkembang.
Penyelesaian itu direka untuk mengesan ancaman generasi baharu termasuk fail Model Bahasa Besar (LLM) yang telah dimanipulasi, ejen AI berniat jahat serta serangan siber konvensional yang terus berkembang seiring penggunaan teknologi AI.
Menurut Kaspersky, pelancaran itu dibuat ketika Asia Pasifik muncul sebagai antara kawasan tumpuan serangan siber global dengan rantau berkenaan menyumbang lebih 60 peratus daripada serangan yang direkodkan di seluruh dunia.
Sektor pembuatan dan perkhidmatan teknologi maklumat (IT) merupakan antara yang paling banyak menjadi sasaran, manakala perusahaan kecil dan sederhana turut berdepan pendedahan tinggi akibat keupayaan pertahanan siber yang tidak mencukupi.
Data Kaspersky turut menunjukkan lebih 92,000 serangan berniat jahat yang menyamar sebagai perkhidmatan AI direkodkan di seluruh dunia pada separuh pertama 2026.
Pengarah Urusan Kaspersky bagi Asia Pasifik Adrian Hia berkata penggunaan AI dalam kalangan perusahaan di rantau ini semakin pantas, namun banyak organisasi masih memandang rendah ancaman sebenar yang hadir bersama teknologi berkenaan.
Antaranya termasuk risiko rantaian bekalan AI, manipulasi model (model poisoning), ejen berniat jahat dan serangan prompt injection.
“Banyak organisasi masih mempunyai tanggapan bahawa menyimpan model bahasa besar secara dalaman menjadikannya selamat.
“Namun, ia mengabaikan bagaimana kod berniat jahat boleh diseludup masuk menerusi pemberat model (model weights), pemalam AI dan skrip kemahiran yang diperoleh dari luar organisasi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Kaspersky, KAIP mempunyai keupayaan memeriksa fail LLM dan ejen AI bagi mengesan fungsi berniat jahat, selain mengekalkan perlindungan terhadap ancaman siber tradisional.
Penyelesaian berkenaan juga boleh diintegrasikan dengan pelbagai aplikasi bagi melindungi portal dan aplikasi web, pelayan proksi, storan rangkaian serta gerbang e-mel.
Ia boleh digunakan menerusi HTTP dan ICAP sebagai perkhidmatan kendiri, kluster berskala atau kontena Docker.
Sementara itu, Pengurus Besar Kaspersky bagi ASEAN dan Asia Emerging Countries (AEC), Simon Tung berkata keselamatan tidak seharusnya menjadi penghalang kepada perkembangan AI, sebaliknya perlu menjadi pemudah cara kepada penggunaannya.
Beliau berkata keselamatan perlu diterapkan dalam keseluruhan kitaran hayat AI, daripada proses mengimport model sehingga pelaksanaan ejen, selain diintegrasikan ke dalam operasi keselamatan sedia ada bagi mengimbangi inovasi dan pengurusan risiko.
KAIP tersedia untuk persekitaran Linux dan boleh digunakan sebagai kontena individu serta menerusi Docker Swarm, Kubernetes, AWS EKS dan persekitaran awan seumpamanya.
Ia juga boleh diintegrasikan dengan penyelesaian keselamatan perkakasan dan perisian pihak ketiga menerusi ekosistem Kaspersky Technology Alliance.

