Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Hong Kong Perkukuh Pelancongan Mesra Muslim Melalui Penceritaan Kreatif

HONG KONG

Hong Kong Perkukuh Pelancongan Mesra Muslim Melalui Penceritaan Kreatif

Selepas meraih sembilan anugerah di Halal in Travel Awards 2025, Hong Kong kini memasuki fasa baharu dengan memperkukuh ekosistem infrastruktur halal dan mesra Muslim yang diperakui, di samping pendekatan penglibatan budaya yang lebih kreatif.

Lembaga Pelancongan Hong Kong (HKTB) terus mempertingkatkan usaha mendekati pelancong Muslim menerusi inisiatif yang segar dan berteraskan komuniti, termasuk penerbitan video muzik Raya pertama yang menjalani penggambaran di Hong Kong bersama penyanyi Malaysia, Ernie Zakri dan Syamel Aqmal.

Kerjasama kreatif ini berjalan seiring dengan perkembangan berterusan ekosistem mesra Muslim Hong Kong. Di Halal in Travel Awards 2025, Hong Kong menerima sembilan pengiktirafan utama:

  • Destinasi Mesra Muslim Paling Berpotensi

  • Tempat Pertama bagi Destinasi Pelancongan Mesra Muslim Aksesibel (Bukan OIC)

  • Tempat Kedua bagi Destinasi Pelancongan Mesra Muslim Wanita (Bukan OIC)

  • Tempat Ketiga dalam kalangan destinasi Bukan OIC bagi Pelancongan Mesra Muslim

  • Tarikan Mesra Muslim Terbaik Tahun Ini: Ngong Ping 360 Limited

  • Hotel Mesra Muslim Terbaik: Kowloon Shangri-La, Hong Kong

  • Hotel Mesra Muslim Terbaik: The Mira Hong Kong

  • Pusat Konvensyen & Pameran Mesra Muslim Terbaik: Hong Kong Convention and Exhibition Centre

  • Sumbangan Cemerlang kepada Landskap Sajian Halal Hong Kong: Incorporated Trustees of the Islamic Community Fund of Hong Kong

Berdasarkan pencapaian ini, Hong Kong terus memperluas tawaran mesra Muslimnya. Kini terdapat 195 restoran diperakui halal, milik Muslim dan mesra Muslim, merangkumi hidangan tempatan, masakan antarabangsa serta restoran yang diiktiraf Michelin.

Selain itu, sebanyak 59 hotel telah menerima penarafan Crescent Rated. Hotel-hotel ini menyediakan kemudahan seperti sejadah, penunjuk arah kiblat dan pilihan hidangan halal atas permintaan, manakala beberapa hotel turut menawarkan ruang solat khusus.

Pada tahun 2025, Hong Kong menerima lebih 49.9 juta pelawat, meningkat 12% berbanding tahun sebelumnya. Malaysia kekal sebagai pasaran utama Asia Tenggara dengan pertumbuhan ketibaan sebanyak 6% tahun ke tahun, mencerminkan minat berterusan serta hubungan perjalanan yang kukuh antara kedua-dua destinasi.

Ms Liew Chian Jia, Pengarah Serantau Asia Tenggara, Lembaga Pelancongan Hong Kong, berkata: “Pelancong Muslim hari ini celik digital dan menghargai pengalaman yang bermakna serta jaminan kemudahan.

Bagi kami, pelancongan mesra Muslim adalah komitmen jangka panjang terhadap keterangkuman. Peranan kami bukan sahaja memperluas pilihan mesra Muslim, tetapi juga menyampaikannya secara kreatif dan relevan dari segi budaya melalui penceritaan, kempen inovatif dan kandungan yang menarik.

Kami mahu maklumat ini mudah diakses dan difahami, supaya apabila pelancong Muslim mempertimbangkan Hong Kong, mereka yakin akan berasa dialu-alukan, disokong dan terinspirasi untuk meneroka.”

Kerjasama Video Muzik “Suasana Raya” bersama Ernie Zakri dan Syamel Aqmal

Penggambaran dilakukan di lokasi ikonik seperti Temple Street, Avenue of Stars, Ocean Park Hong Kong dan Ngong Ping 360. Video ini menggabungkan latar bandar Hong Kong dalam naratif kekeluargaan yang menyentuh hati.

Elemen pengalaman perjalanan sebenar turut dipaparkan, termasuk akses mudah kepada sajian halal dan kemudahan solat yang selesa, memperlihatkan bagaimana pengalaman mesra Muslim di Hong Kong dapat disepadukan secara semula jadi dalam momen harian.

Berkongsi pengalaman beliau, Ernie Zakri berkata: “Kami memilih Hong Kong untuk video muzik Raya ini kerana ia sebuah bandar yang penuh tenaga, budaya dan kepelbagaian. Ini kali pertama kami menjalani penggambaran di Hong Kong, dan kehadiran suami serta anak kami menjadikannya lebih bermakna."

"Saya teruja kerana perjalanan di sana sangat lancar. Mencari makanan halal mudah, dan kemudahan untuk menunaikan solat dengan selesa membuatkan kami berasa tenang walaupun jauh dari rumah.”

Syamel Aqmal turut berkongsi: “Penggambaran video muzik ‘Suasana Raya’ di Hong Kong benar-benar membuka mata kami sekeluarga. Ramai mungkin membayangkan Hong Kong sebagai bandar moden dengan lampu neon dan bangunan pencakar langit, tetapi kami menemui sisi yang sangat mesra Muslim. Sebagai seorang suami dan bapa, keutamaan saya adalah keselesaan keluarga, terutama dari segi makanan dan kemudahan solat."

"Saya kagum dengan akses kepada makanan halal, daripada dim sum autentik hingga hidangan tempatan, kami tidak rasa terlepas apa-apa pengalaman kulinari. Projek ini bukan sekadar kerja, tetapi kenangan yang bermakna. Kami berharap peminat dapat melihat bahawa Hong Kong ialah destinasi yang sesuai untuk keluarga Muslim, termasuk ketika musim perayaan.”

Jelajah Hong Kong: Daripada Kesedaran kepada Keyakinan

Semua perkembangan ini merupakan sebahagian daripada kempen Jelajah Hong Kong oleh HKTB, yang terus mengukuhkan penglibatan bersama pelancong Malaysia dan Asia Tenggara.

Selain meningkatkan kesedaran tentang destinasi, kempen ini memberi penekanan kepada jaminan praktikal, memudahkan pelancong mengetahui lokasi makan, penginapan dan tarikan yang boleh dinikmati dengan selesa.

Bagi membantu perancangan perjalanan, HKTB turut mempertingkatkan Panduan Perjalanan Muslim yang komprehensif, merangkumi restoran diperakui halal, mesra Muslim dan milik Muslim, hotel bertaraf Crescent Rated, kemudahan solat serta tarikan di seluruh bandar. Panduan ini direka untuk memudahkan keputusan perjalanan bagi keluarga, pasangan dan golongan muda.

Seiring dengan peningkatan permintaan perjalanan dari Asia Tenggara, Hong Kong akan terus memperluas tawaran yang diperakui serta melabur dalam inisiatif kreatif dan berteraskan komuniti bagi memperkukuh hubungan jangka panjang dengan pelancong Muslim.

Untuk maklumat lanjut dan akses kepada Panduan Perjalanan Muslim, layari: https://www.discoverhongkong.com/seasia/explore/muslim-travel-bm.html

Tonton video muzik penuh “Suasana Raya” di sini: https://www.youtube.com/watch?v=XYrbTsTR1is