Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Hutang Isi Rumah Cecah RM1.73 Trilion, Kerajaan Pantau Tahap Keberhutangan Rakyat

TRILION
Kredit: Bernama

Hutang Isi Rumah Cecah RM1.73 Trilion, Kerajaan Pantau Tahap Keberhutangan Rakyat

Tahap keberhutangan isi rumah di Malaysia terus menjadi perhatian apabila jumlah keseluruhan hutang direkodkan mencecah RM1.73 trilion setakat akhir Mac lalu.

Kementerian Kewangan (MOF) memaklumkan jumlah itu bersamaan 84.4 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), sekali gus menunjukkan peningkatan berbanding 84.7 peratus yang direkodkan pada akhir Disember tahun lalu.

Menurut MOF, kerajaan bersama Bank Negara Malaysia (BNM) sentiasa memantau tahap keberhutangan isi rumah, keupayaan pembayaran balik pinjaman serta perkembangan ekonomi secara menyeluruh bagi memastikan rakyat mampu berdepan sebarang kejutan ekonomi global.

Katanya, nisbah pinjaman isi rumah terjejas kekal stabil dan rendah pada paras satu peratus setakat akhir Disember 2025 berbanding 1.1 peratus pada Jun tahun sama.

Perkara itu dimaklumkan menerusi jawapan bertulis yang disiarkan di laman sesawang Parlimen hari ini bagi menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Sri Gading, Aminolhuda Hassan.

Soalan tersebut menyentuh mengenai langkah kerajaan menilai tahap ketahanan kewangan rakyat dalam menghadapi kemungkinan kemelesetan ekonomi global termasuk aspek simpanan kecemasan, keberhutangan isi rumah dan kos sara hidup.

Dalam pada itu, MOF berkata petunjuk keupayaan pembayaran balik isi rumah juga kekal kukuh apabila nisbah khidmat hutang (DSR) median bagi pinjaman isi rumah sedia ada berada pada paras 33 peratus.

Menurut kementerian itu, pertumbuhan hutang terus disokong oleh peningkatan pendapatan yang dicerminkan melalui nisbah median hutang kepada pendapatan yang kekal stabil pada kadar 1.3 kali.

“Secara keseluruhannya, isi rumah masih mempunyai keupayaan yang mencukupi untuk memenuhi obligasi pembayaran hutang masing-masing,” katanya.

MOF berkata, kerajaan kekal komited memastikan pertumbuhan hutang isi rumah terus terkawal dan selari dengan kemampuan peminjam untuk membuat bayaran balik.

Katanya, bagi mengurangkan tekanan kewangan susulan konflik di Asia Barat, sistem perbankan turut menyediakan bantuan pembayaran balik bersasar kepada peminjam yang terjejas.

Antara bantuan tersebut termasuk penstrukturan semula pinjaman, penjadualan semula bayaran serta moratorium sementara.

Menurut MOF, pendekatan itu selaras dengan penilaian BNM bahawa kesan ekonomi akibat konflik berbeza mengikut keadaan setiap peminjam.

Sehubungan itu, individu dan perniagaan yang terkesan digalakkan berunding dengan bank masing-masing bagi mendapatkan penyelesaian yang bersesuaian dengan keupayaan kewangan semasa.