Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Pulau Pinang Wajar Terima Pulangan Hasil Lebih Adil - Kon Yeow

KON YEOW
Kredit: Bernama

Pulau Pinang Wajar Terima Pulangan Hasil Lebih Adil - Kon Yeow

Kerajaan Penang berharap negeri itu menerima pulangan hasil yang lebih adil susulan pengiktirafan Perdana Menteri bahawa Pulau Pinang merupakan antara penyumbang utama hasil cukai kepada Kerajaan Persekutuan.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, pengiktirafan tersebut mengesahkan kedudukan negeri itu sebagai antara pemacu utama pertumbuhan ekonomi negara serta penyumbang bersih kepada hasil Persekutuan.

Menurut beliau, kenyataan Perdana Menteri itu turut mengukuhkan perkara yang telah dibangkitkan kerajaan negeri dalam pelbagai mesyuarat nasional serta di Dewan Rakyat sebelum ini.

“Apa yang diperjuangkan oleh kerajaan negeri bukan untuk mendapatkan layanan istimewa, tetapi bagi memastikan pulangan hasil dibuat secara adil berasaskan sumbangan sebenar negeri kepada pembangunan negara.

“Sebagai negeri yang menjadi nadi kepada sektor pembuatan, perdagangan, teknologi dan inovasi negara, Pulau Pinang memerlukan pelaburan berterusan untuk memastikan infrastruktur strategik terus dipertingkatkan dan daya saing negara kekal kukuh di peringkat global,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kon Yeow berkata, beliau menghargai komitmen Kerajaan Persekutuan sejak 2023 yang telah meluluskan dan membiayai beberapa projek infrastruktur utama di negeri itu.

Katanya, antara projek berkenaan termasuk Penang Mutiara Line, pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang, Projek Penyuraian Trafik Juru-Sungai Dua serta beberapa projek tebatan banjir.

Beliau berkata, pendedahan angka berkaitan kutipan hasil dan agihan perbelanjaan Persekutuan oleh Perdana Menteri di Parlimen juga mencerminkan komitmen Kerajaan MADANI terhadap prinsip ketelusan, akauntabiliti dan tadbir urus yang baik.

Dalam pada itu, Kon Yeow berkata Pulau Pinang akan terus memainkan peranan sebagai enjin pertumbuhan ekonomi negara apabila merekodkan pelaburan diluluskan berjumlah RM63.96 bilion pada tahun 2025.

Menurutnya, negeri itu juga kekal sebagai pengeksport utama negara dengan nilai eksport RM573.91 bilion atau 35.7 peratus daripada keseluruhan eksport Malaysia.

“Pencapaian ini membuktikan bahawa setiap pelaburan yang disalurkan ke Pulau Pinang bukan sahaja memacu ekonomi negeri, malah memberi pulangan besar kepada negara melalui peningkatan eksport, peluang pekerjaan berkualiti, pemindahan teknologi dan hasil cukai kepada Kerajaan Persekutuan.

“Pada masa sama, saya berharap Kerajaan Persekutuan dapat memberi keutamaan kepada usaha bersama dalam merealisasikan aspirasi Pusat Kewangan Antarabangsa Pulau Pinang (PIFC),” ujarnya.

Tambah beliau, kerajaan negeri akan terus mengamalkan pendekatan konstruktif dan memperkukuh kerjasama dengan Kerajaan Persekutuan bagi memastikan Pulau Pinang terus menjadi pemacu utama ekonomi negara.