Setiap pemimpin merupakan cerminan pada sesebuah negara.
Baik dari hujung rambut hingga hujung kaki, sentiasa dinilai oleh pandangan rakyatnya mahupun luar.
Begitu juga personaliti Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menarik perhatian seorang wanita Sweden yang berkongsi rasa terujanya melihat cara pemimpin itu berinteraksi dengan kanak-kanak.
Menerusi perkongsiannya di TikTok @edina, wanita tersebut berkata dia begitu menyukai pembawaan santai Anwar, malah berharap dapat bertemu dengannya sekurang-kurangnya sekali seumur hidup.
“Kenapa Perdana Menteri Malaysia mempunyai ‘vibe’ yang begitu menarik?” katanya.
Menurut wanita itu, rasa terujanya timbul selepas melihat Anwar mendekati sekumpulan kanak-kanak dan melayan mereka.
Teruja mahu cuba sebut “six seven”

Wanita tersebut turut membayangkan situasi sekiranya berpeluang bertemu sendiri dengan Perdana Menteri.
Katanya, beliau mahu menyebut “six seven” di hadapan Anwar dan melihat respons pemimpin berkenaan.

“Saya mahu bertemu dengannya sekali dalam hidup saya. Sekali sahaja supaya saya boleh sebut ‘six seven’ dan dia membalasnya. Itu tentu sangat menarik.
“Bayangkan seorang pemimpin negara melayan anda seperti itu. Memang luar biasa,” katanya.
Bagi wanita tersebut, interaksi santai seperti itu membuatkan perwatakan Anwar begitu disenanginya.
“Saya sangat, sangat suka ‘vibe’ dia,” ujarnya.
“Saya tak tahu banyak tentang politik Malaysia”

Dalam masa sama, wanita itu mengakui bahawa pengetahuannya mengenai politik Malaysia adalah terhad.
Namun, berdasarkan tanggapan peribadinya terhadap Anwar, beliau menyatakan rasa percaya terhadap pemimpin tersebut.
“Sejujurnya, saya tidak tahu banyak tentang politik Malaysia, but I trust this man,” katanya.
Perkongsian itu memperlihatkan bagaimana interaksi seorang pemimpin dengan orang ramai boleh meninggalkan kesan kepada pemerhati, termasuk mereka yang datang dari luar negara.
