CYBERJAYA, 26 Ogos (Bernama) -- Idea golongan belia yang diketengahkan menerusi Gen Bajet 2027, berpotensi diangkat ke peringkat pasukan Belanjawan Kementerian Kewangan untuk dipertimbangkan dalam Belanjawan 2027, kata Pengarah Kanan Bahagian Perkhidmatan Strategik Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) Nik Nazree Nik Abdul Rahman.
Beliau berkata penganjuran Gen Bajet, bertujuan memberi ruang kepada belia menyampaikan idea secara langsung, khususnya berkaitan pembangunan Bumiputera, sebelum idea berkenaan dibawa ke peringkat seterusnya.
“Objektif pertama Gen Bajet 2027 adalah supaya kita dapat mendengar idea terus daripada belia-belia kita, terutamanya dalam idea untuk pembangunan Bumiputera itu sendiri.
“Langkah seterusnya sama ada kita dapat mengangkat idea pemenang kepada peringkat seterusnya, terutama sekali kepada pasukan belanjawan di Kementerian Kewangan. Jadi kita cadangkan supaya ada satu sesi pembentangan kepada pasukan belanjawan, supaya diterapkan dalam Belanjawan 2027,” katanya kepada Bernama dan RTM selepas menghadiri Pertandingan Akhir Gen Bajet 2027, di sini hari ini.
Nik Nazree berkata idea yang dinilai perlu mempunyai ciri unik dan baharu, selain mampan serta memberi manfaat kepada masyarakat dan juga selari dengan aspirasi dan sasaran yang ditetapkan menerusi Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PUTERA35).
Mengulas penyertaan tahun ini, Nik Nazree berkata Gen Bajet 2027 merupakan penganjuran kali kedua dan mencatatkan peningkatan penyertaan, iaitu daripada 50 peserta kepada lebih 70 peserta kali ini.
Beliau berkata kualiti pembentangan peserta tahun ini juga amat memberangsangkan, dengan pelbagai idea baharu dan cadangan penambahbaikan terhadap dasar sedia ada.
“Kita dapat lihat bahawa mereka memberikan pelbagai idea baharu dan idea tambahan kepada dasar yang sedia ada. Jadi, di situ kita dapat lihat bahawa terdapat penambahbaikan yang diperlukan pada peringkat dasar kerajaan, dalam membantu golongan belia dan masyarakat umum,” katanya.
“Bagi TERAJU, penglibatan belia amat penting untuk memastikan agenda transformasi ekonomi Bumiputera terus relevan dengan perubahan landskap ekonomi dan keperluan generasi akan datang iaitu aspirasi PUTERA35 memerlukan penyertaan aktif seluruh ekosistem, termasuk generasi muda,” katanya.
Gen Bajet 2027, di bawah seliaan Kementerian Ekonomi dan TERAJU merupakan platform kepada generasi muda bagi menyuarakan pandangan dan mengemukakan idea dasar bagi menangani isu dan cabaran semasa negara, selaras dengan aspirasi PUTERA35, di samping memberi ruang kepada golongan belia untuk menyumbang pandangan dan idea terhadap pembangunan ekonomi negara.
Sebanyak 10 finalis, berentap pada peringkat akhir Gen Bajet 2027, yang menyaksikan pelajar Universiti Sains Malaysia (USM) Ahmad Huzairy Zaharuddin merangkul gelaran juara dan membawa pulang RM5,000, diikuti Ahmad Muqri Johari Abdul Mukmin (kedua) dan Ahmad Fariz Soon Muhammad Zulkifli Soon (ketiga), yang masing-masing menerima RM3,000 dan RM2,000.
Ahmad Huzairy ketika ditemui berkata beliau membentangkan idea bertajuk “MySkill ID - Akaun Aset Kemahiran Digital Nasional Berasaskan Kecerdasan Buatan”, iaitu ia berpotensi membantu individu membina portfolio kemahiran secara automatik, selain menghubungkan mereka dengan industri berdasarkan kemahiran dan pengalaman yang dimiliki.
Beliau berkata MySkill ID itu, dicadangkan sebagai satu portfolio digital yang menghubungkan agensi berkaitan yang berdaftar dengan kerajaan, sekali gus membolehkan sijil kemahiran yang diperoleh direkodkan dalam satu sistem.
“MySkill ID ini sebenarnya dia lebih advance, sebab dia menghubungkan semua agensi yang ada di Malaysia, yang berdaftar dengan kerajaan ataupun mana-mana agensi bertanggungjawab, supaya dia boleh berfungsi sebagai satu portfolio kepada kita,” katanya yang merupakan pelajar semester akhir Kejuruteraan Kimia USM.
Beliau berkata kelebihan MySkill ID ialah pengguna tidak perlu membina portfolio kemahiran dari awal setiap kali memohon pekerjaan, kerana rekod sijil dan kemahiran yang diperoleh sebelum ini boleh dikemas kini secara berterusan, termasuk sijil yang diperoleh sebelumnya.
Selain itu, Ahmad Huzairy berkata platform itu turut memberi nilai tambah kepada industri, kerana membolehkan majikan mengenal pasti calon berdasarkan kemahiran dan pengalaman sebenar, bukan sekadar jumlah sijil yang dimiliki, iaitu sistem berkenaan boleh membezakan antara skill credit yang diperoleh menerusi kursus dalam talian, dengan skill score yang mencerminkan pengalaman atau projek setaraf industri yang telah diselesaikan.

