Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Indonesia-AS Meterai Kerjasama Pertahanan, Perkukuh Kestabilan Indo-Pasifik
Indonesia dan Amerika Syarikat (AS) secara rasmi memeterai penubuhan Major Defense Cooperation Partnership (MDCP) atau Perkongsian Kerjasama Pertahanan Utama dalam memperkukuh hubungan dua hala serta mengekalkan keamanan dan kestabilan di rantau Indo-Pasifik, lapor Detik.com.
Pengumuman itu dibuat selepas Menteri Pertahanan Indonesia (Menhan) Sjafrie Sjamsoeddin mengadakan pertemuan dengan Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat (AS) Pete Hegseth di Pentagon, Virginia.
Menurut kenyataan itu, kerjasama berkenaan mencerminkan peranan penting Indonesia dalam mempromosikan kestabilan serantau dan menegaskan kekuatan serta potensi hubungan pertahanan dua hala.
Lebih-lebih lagi, MDCP berfungsi sebagai kerangka kerja panduan dalam memajukan kerjasama pertahanan antara kedua-dua negara berkenaan.
"Dalam MDCP, terdapat tiga teras utama seperti Pemodenan ketenteraan dan peningkatan kapasiti; Latihan dan pendidikan ketenteraan profesional; dan Latihan dan kerjasama operasional," maklum kenyataan itu.
Dalam pertemuan berkenaan, Hegseth memuji Indonesia atas penyertaannya dalam Board of Peace atau Dewan Keamanan.
Menurut beliau, Indonesia memainkan peranan utama dalam Pasukan Penstabilan Antarabangsa.
Kedua-duanya turut menegaskan semula hubungan pertahanan yang vital dan membincangkan pelbagai matlamat kedua-dua negara, termasuk peningkatan latihan pasukan khas dan pendidikan ketenteraan profesional.
Sjafrie dan Hegseth komited untuk memperluas skop dan kompleksiti latihan dua hala dan pelbagai hala, seperti Super Garuda Shield.
Perkara itu diharapkan dapat memperkukuh keupayaan kolektif dan mempromosikan doktrin "keamanan melalui kekuatan" atau peace through strength.
Jabatan Pertahanan AS dan Kementerian Pertahanan Indonesia juga menyatakan komitmen untuk kerjasama jangka panjang di bawah kerangka MDCP pada masa hadapan.