Setiap kali mendongak ke langit dan melihat pesawat melintas, mungkin ada yang tertanya-tanya tentang garis putih panjang yang kelihatan mengikutinya.
Ramai mungkin menyangka garis tersebut ialah asap yang keluar daripada enjin pesawat. Namun, menurut perkongsian seorang lelaki Indonesia di TikTok, apa yang kelihatan itu sebenarnya bukan asap.
Menerusi video yang dikongsikan di akaun TikTok @handy_merantau, lelaki berkenaan menerangkan bahawa garis putih tersebut dikenali sebagai contrail atau condensation trail.
“Ingatkan asap...”
Menurutnya, pesawat terbang pada altitud yang tinggi dan pada ketinggian tersebut, udara berada dalam keadaan sangat sejuk.
Dalam masa sama, enjin pesawat menghasilkan gas ekzos yang mengandungi wap air.

“Ketika wap air yang panas itu bertemu dengan udara yang sangat dingin, wap tersebut mengalami kondensasi atau membeku menjadi kristal-kristal ais kecil,” jelasnya dalam perkongsian tersebut.
Katanya, kristal ais berkenaan kemudiannya menjadi sebab mengapa garis putih panjang dapat dilihat dari bawah, seolah-olah ia sedang mengikuti pesawat yang melintas di langit.

Kenapa ada yang cepat hilang?
Lelaki itu turut menjelaskan bahawa tidak semua contrail akan kekal dalam tempoh yang lama.
Menurutnya, keadaan udara di sekeliling memainkan peranan dalam menentukan berapa lama garis putih tersebut dapat dilihat.
“Kalau udara di sekitar itu cukup kering, maka garis putih ini akan bertahan sebentar saja,” katanya.

Namun, keadaan berbeza sekiranya udara pada altitud tersebut cukup lembap.
“Kalau udara di ketinggian tersebut cukup lembap, kristal ais ini boleh bertahan lebih lama,” jelasnya lagi.
Malah, katanya, contrail berkenaan juga boleh merebak sehingga kelihatan seperti awan nipis di langit.
Pesawat berlalu, jejaknya masih tertinggal
Pada akhir perkongsiannya, lelaki tersebut menjelaskan bahawa garis putih yang kelihatan di belakang pesawat sebenarnya bukanlah asap yang sedang jatuh daripada pesawat.

Sebaliknya, ia merupakan jejak kristal ais yang terbentuk di langit hasil proses yang berlaku apabila wap air daripada enjin bertemu dengan udara yang sangat sejuk.
Jadi, tidak hairanlah jika pesawat sudah lama berlalu, tetapi garis putih di belakangnya masih kelihatan di langit.

