Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Ini Mungkin Anggaran Harga Yang Perlu Dibayar Jika Nak Beli Greenland

Sofea
harga nak beli greenland
Kredit: AFP

Ini Mungkin Anggaran Harga Yang Perlu Dibayar Jika Nak Beli Greenland

Amerika Syarikat (AS) ketika ini menjadi tumpuan dunia kerana beberapa isu, yang telah dihangatkan lagi dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh Presiden Donald Trump.

Selain isu dengan Iran, AS juga kini menunjukkan minat untuk membeli Greenland dan tindakan tersebut mendapat kritikan daripada banyak pihak.

Trump berpendapat bahawa pemilikan Greenland adalah demi kepentingan AS. Wilayah autonomi Denmark itu berpenduduk jarang dan mempunyai keluasan kira-kira sama seperti negeri terbesar AS, Alaska.

Kredit: AFP

Setiausaha Akhbar Rumah Putih, Karoline Leavitt berkata Trump melihat wilayah itu sebagai kepentingan terbaik AS untuk menghalang pencerobohan Rusia dan China di rantau Artik.

Berapa harga jika nak beli Greenland?

Bagaimanapun, mungkin ramai yang tertanya-tanya berapa nilai yang perlu dibayar jika ingin membeli Greenland? Adakah semudah itu ia boleh dibeli?

Untuk pengetahuan, AS mungkin perlu membayar sehingga $700 bilion (sekitar RM2.8 trilion) jika ingin mencapai matlamatnya untuk membeli wilayah itu.

Anggaran tersebut telah dilakukan oleh para sarjana dan bekas pegawai AS sebagai sebahagian daripada perancangan berdasarkan aspirasi Trump untuk memperoleh pulau seluas 800,000 batu persegi iu.

Harga itu adalah lebih separuh daripada bajet tahunan Jabatan Pertahanan AS.

Walaupun beberapa pegawai pentadbiran Trump mengatakan bahawa AS boleh menggunakan kekerasan tentera untuk menawan pulau yang mempunyai 57,000 penduduk itu, beberapa sekutu luar Rumah Putih melihat percubaan AS untuk membeli atau membentuk pakatan baharu sebagai hasil yang lebih ‘logik’.

Pilihan selain beli Greenland

Selain membeli Greenland, AS juga sebenarnya mempunyai satu lagi pilihan iaitu menerusi perjanjian persatuan bebas dengan Greenland.

Ia merupakan perjanjian yang merangkumi bantuan kewangan AS sebagai pertukaran untuk membenarkannya mempunyai akses keselamatan di sana.

AS telah mempunyai perjanjian yang serupa dengan Republik Kepulauan Marshall, Negara-Negara Bersekutu Mikronesia dan Republik Palau.

Penambahan Greenland dalam pakatan itu dijangka akan memenuhi sebahagian visi Trump yang lebih luas untuk hegemoni AS di Hemisfera Barat.

Ia juga mungkin lebih murah daripada anggaran harga pembelian Greenland.

Greenland bukan untuk dijual

Namun, seperti yang telah ditegaskan oleh pihak berkuasa Denmark, Greenland tidak akan dijual.

“Greenland tidak mahu dimiliki, ditadbir atau menjadi sebahagian daripada AS. Kami memilih Greenland yang kita kenali hari ini, sebagai sebahagian daripada kerajaan Denmark,” kata Menteri Luar, Vivian Motzfeldt.

Kredit: AFP

Dalam masa yang sama, Setiausaha Negara, Marco Rubio dilaporkan telah diarahkan untuk mengemukakan cadangan dalam beberapa minggu akan datang untuk membeli wilayah itu. Rancangan terbabit disifatkan sebagai keutamaan tinggi bagi Trump.

Sementara itu, Menteri Perniagaan dan Sumber Mineral Greenland, Naaja Nathanielsen berkata bahawa mesej dari AS menimbulkan kebimbangan besar bagi penduduk Greenland sehingga mereka sukar untuk tidur.

“Ia menjadi tekanan yang besar kepada kami dan orang ramai merasai kesannya. Kami tidak berniat untuk menjadi rakyat AS,” katanya.

Sumber: NBC News