Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Ini Yang Anda Perlu Tahu Tentang Pasport Malaysia Baharu
Malaysia bakal memperkenalkan Pasport Malaysia Antarabangsa (PMA) versi baharu yang tampil dengan pelbagai penambahbaikan, khususnya dari aspek keselamatan dan teknologi.
Langkah itu dilaksanakan bagi memastikan dokumen perjalanan negara terus memenuhi piawaian antarabangsa serta sukar dipalsukan.
Menerusi perkongsian Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di Facebook, pasport baharu itu diperkasakan dengan 94 ciri keselamatan, hampir dua kali ganda berbanding pasport sedia ada yang hanya mempunyai 49 ciri keselamatan.
Penambahbaikan tersebut bukan sahaja bertujuan melindungi identiti pemegang pasport.
Malah, meningkatkan keyakinan negara luar terhadap keselamatan dokumen perjalanan Malaysia serta memastikan ia mematuhi piawaian International Civil Aviation Organization (ICAO) 9303.
Menurut laporan media tempatan, langkah menaik taraf dokumen perjalanan itu merupakan sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan bagi memperkukuh keselamatan dokumen pengenalan negara. Ini sejajar dengan kedudukan Malaysia sebagai antara pemilik pasport paling berkuasa di dunia.
Versi baharu PMA menampilkan peningkatan ketara dengan 94 ciri keselamatan, berbanding hanya 49 ciri pada versi terdahulu.

Antara ciri keselamatan yang dipertingkatkan termasuk elemen hologram yang lebih canggih, cetakan ultraviolet (UV) dan elemen visual tersembunyi.
Selain itu, ciri-ciri forensik khas, benang jahitan pasport yang turut mengandungi elemen keselamatan dan reka bentuk setiap helaian muka surat yang berbeza bagi menyukarkan usaha pemalsuan.
Gabungan ciri-ciri ini menjadikan pasport baharu lebih selamat dan lebih sukar ditiru oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.
Menurut JIM, struktur baharu Pasport Malaysia Antarabangsa dibangunkan dengan memberi tumpuan kepada tiga aspek utama, iaitu:
Memperkukuh keselamatan dokumen perjalanan Malaysia.
Menyokong penggunaan teknologi digital selaras dengan perkembangan semasa.
Meningkatkan keyakinan masyarakat antarabangsa terhadap Pasport Malaysia.

Usaha ini juga dijangka membantu melancarkan urusan perjalanan di pintu masuk antarabangsa menerusi penggunaan teknologi keselamatan yang lebih moden.
Orang ramai tidak perlu bimbang kerana pelaksanaan pasport baharu akan dibuat secara berfasa.
Ini bermakna, pasport sedia ada masih boleh digunakan sehingga enam bulan sebelum tarikh tamat tempoh sah laku.
Justeru, pemegang pasport tidak perlu tergesa-gesa membuat pertukaran sekiranya pasport mereka masih sah digunakan.
Menurut laporan media tempatan, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dijadual melancarkan Pasport Malaysia Antarabangsa versi baharu yang dilengkapi dengan 94 ciri keselamatan di Lobi Parlimen, esok.