Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah
Tiada Kategori

Inisiatif Penempatan Pekerjaan Beri Sinar Buat Gelandangan, Bantu Capai Sasaran Sifar Gelandangan

syafiq halim

KUALA LUMPUR – Perusahaan sosial, My Qaseh Sdn Bhd hari ini menandatangani satu Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) bagi menjalin kerjasama dalam usaha menyediakan perkhidmatan penempatan pekerjaan buat golongan gelandangan di negara ini.

Kerjasama strategik ini juga adalah seiring dengan matlamat My Qaseh untuk membasmi isu gelandangan Malaysia menerusi Inisiatif Sifar Gelandangan yang digagaskannya.

MoU telah ditandatangani oleh Dato’ Sri Dr. Mohammed Azman Dato’ Aziz Mohammed, Ketua Eksekutif PERKESO bersama Trina Thomas Raj, Ketua Pegawai Eksekutif My Qaseh Sdn Bhd dengan disaksikan oleh Datuk Seri M. Saravanan, Menteri Sumber Manusia,

Inisiatif Sifar Gelandangan merupakan satu pelan holistik yang direka khas untuk membantu golongan geladangan di negara ini kembali kepada masyarakat. Ia dilaksanakan secara bersasar dan berperingkat menerusi kerjasama bersepadu dengan pihak-pihak berkepentingan seperti agensi Kerajaan, Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO), rakan kongsi dan sebagainya.

Mengulas mengenai Inisiatif Sifar Gelandangan, Datuk Seri M. Saravanan, Menteri Sumber Manusia berkata inisiatif ini merupakan satu program yang amat baik terutamanya bagi merealisasikan hasrat Kerajaan untuk menangani golongan gelandangan di Malaysia. Golongan ini perlu segera dibantu dengan apa jua cara agar mereka dapat keluar daripada kepompong kemiskinan.

Kerjasama ini turut menyaksikan PERKESO dan My Qaseh menumpukan usaha bagi mendapatkan tawaran pekerjaan kepada gelandangan menerusi Program Penempatan Pekerjaan PERKESO. Peluang dan proses padanan kerjaya tersebut akan dilaksana dan disalurkan melalui Portal Pekerjaan Negara, MYFutureJobs di bawah Kementerian Sumber Manusia (KSM). Selain itu, PERKESO turut akan menganjurkan Program Kebolehpasaran kepada golongan sasaran ini. Ia merangkumi aktiviti seperti ceramah kebolehpasaran, bengkel hala tuju kerjaya, sesi temu duga dan bantuan penyediaan resume.

Menurut Dato’ Sri Dr. Mohammed Azman Dato’ Aziz Mohammed, Ketua Eksekutif PERKESO, “Pada masa ini, kami mempunyai lebih 400,000 peluang pekerjaan di seluruh negara dan sebahagian daripadanya boleh ditawarkan kepada golongan gelandangan ini.”

Sementara itu, Trina Thomas Raj, Ketua Pegawai Eksekutif My Qaseh Sdn Bhd berkata, “Beberapa langkah efektif akan diambil bagi pelaksanaan inisiatif ini iaitu mengenal pasti golongan gelandangan, penyediaan pemeriksaan kesihatan, perumahan sementara, latihan dan penempatan pekerjaan. Perjalanan mereka ke arah mencapai peluang kedua yang lebih baik tidak akan terhenti setelah mereka berjaya mendapat penempatan pekerjaan pada peringkat awal sahaja, namun mereka juga akan sentiasa dipantau dari semasa ke semasa agar kehidupan mereka dapat diselaraskan dengan baik serta lebih terjamin.”

Beliau turut menambah, “Pendekatan My Qaseh ke arah sifar gelandangan adalah unik kerana ia bukan sekadar menyediakan keperluan harian. My Qaseh juga bergerak selangkah lebih jauh untuk mengenal pasti masalah mereka dan menanganinya agar mereka dapat kembali ke alam pekerjaan dan dapat berdikari.”

Gelandangan merupakan suatu isu sosial yang kompleks dan kritikal yang dialami bukan sahaja di Malaysia, malah di peringkat global. Pandemik COVID-19 telah menyulitkan lagi permasalahan ini, menuntut perhatian dan kerjasama bersepadu daripada semua pihak bagi meningkatkan kualiti kehidupan gelandangan dan memberi mereka peluang kedua dalam kehidupan.

KSM menerusi agensinya PERKESO dan My Qaseh berharap inisiatif ini akan memanfaatkan golongan gelandangan di Malaysia, seterusnya memangkin hasrat Kerajaan untuk mencapai sasaran sifar gelandangan.