Hari berganti hari, masalah jerebu masih menyelubungi beberapa kawasan di negara kita, malah keadaan udara masih belum pulih sepenuhnya.
Namun, bayangkan pula keadaan penduduk yang tinggal berhampiran kawasan kebakaran hutan dan tanah di Indonesia.
Dengan kualiti udara yang dilaporkan berada pada tahap sangat berbahaya, penduduk di sana terpaksa berdepan dengan asap tebal yang menyesakkan pernafasan.
Hari paling berat
Semalam, seorang wartawan di Indonesia berkongsi situasi pilu yang dilihat dan dilaluinya sendiri di bandar Palangka Raya, Kalimantan Tengah.
Menurut Dede Septa Jaya menerusi perkongsian di Instagram, dia bersama beberapa sukarelawan hampir dikepung asap tebal akibat kebakaran hutan dan tanah di kawasan berkenaan.

“Hari ini merupakan hari paling berat buat saya sebagai seorang wartawan yang juga terlibat dalam kerja-kerja sukarelawan kemanusiaan bersama pasukan gabungan lain.
“Bukan sahaja saya, malah penduduk Kota Palangka Raya turut merasai situasi yang sama apabila kami hampir dikepung asap tebal akibat kebakaran hutan dan tanah, dari jalan utama sehingga ke kawasan penempatan penduduk.
“Kualiti udara di Kota Palangka Raya hari ini berada pada tahap yang sangat, sangat, sangat berbahaya, dengan bacaan PM2.5 dilaporkan mencecah 2,560 (udara beracun),” katanya.
Kanak-kanak hampir muntah terhidu asap tebal
Lebih menyedihkan, Dede turut menyaksikan sendiri beberapa kanak-kanak berlari untuk mengelakkan asap kebakaran hutan dan tanah yang menyelubungi satu-satunya jalan keluar masuk di kawasan perumahan mereka.
Malah, salah seorang kanak-kanak tersebut dilaporkan hampir muntah kerana tidak tahan terhidu asap yang terlalu pekat.
“Selain itu, di jalan utama, seorang kanak-kanak bersama ibu bapanya turut mengalami pedih mata dan kesukaran bernafas ketika menaiki kenderaan.
“Nasib baik, pasukan kami segera menghulurkan bantuan dengan memberikan pelitup muka serta meminta mereka menjauhi kawasan yang diselubungi asap tebal itu.
“Semoga Kota Palangka Raya segera pulih,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Dede turut berharap pihak berkuasa dapat mengambil tindakan segera bagi menangani kebakaran hutan dan tanah yang sedang berlaku di kawasan berkenaan.
