Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Inkues: Jika Masih Hidup, Zara Qairina Mungkin Koma Sepanjang Hayat - Bapa

Gambar: BERNAMA

KOTA KINABALU, 7 Sept (Bernama) -- Bapa Zara Qairina, Mahathir Mohd Hashim, 45, memberitahu Mahkamah Koroner di sini hari ini bahawa jika masih hidup, anak perempuannya itu mungkin berada dalam keadaan koma sepanjang hayat.

Saksi ke-80 dalam prosiding inkues kematian pelajar Tingkatan Satu itu berkata perkara tersebut dimaklumkan kepadanya oleh seorang doktor wanita ketika beliau melawat Zara Qairina di Unit Kecemasan, Hospital Queen Elizabeth (HQE) I pada 16 Julai tahun lepas.

Mahathir berkata beliau turut dimaklumkan bahawa keadaan Zara Qairina ketika itu adalah kritikal dengan kecederaan serius melibatkan pendarahan otak, paru-paru, buah pinggang selain patah kaki.

“Semasa saya berada di sisi katil Zara bersama dengan doktor-doktor yang lain, saya nampak bantal di tempat Zara berbaring penuh dengan darah.

“Selepas itu, saya memegang kepala Zara dan mencium dahinya… semasa saya memegang bahagian belakang kepala Zara, saya dapat merasakan bahawa bahagian belakang atas leher Zara lembut dan seolah-olah terdapat lekukan.

“Saya juga mendapati kaki kiri Zara pula dibalut dari bahagian paha hingga ke tapak kaki,” katanya ketika membacakan pernyataan saksi di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan.

Saksi itu berkata beliau tiba di Unit Kecemasan HQE I pada kira-kira 1 tengah hari hingga 3 petang 16 Julai selepas dimaklumkan Zara Qairina berada di hospital berkenaan sebelum bertemu Noraidah Lamat di luar dan bertanya tentang keberadaan anak mereka.

Selepas dimaklumkan oleh Noraidah, Mahathir berkata beliau terus ke katil Zara Qairina setelah mendapat kebenaran daripada jururawat di unit itu dan melihat dua doktor wanita bersama dengan anaknya.

Namun, saksi itu berkata beliau tidak ingat nama kedua-dua doktor dan tidak mengetahui jawatan atau pangkat mereka.

Mahathir turut memaklumkan bahawa beliau tidak pernah ditanya sama ada bersetuju atau sebaliknya berkaitan proses bedah siasat ke atas Zara Qairina.

Mahathir berkata seorang doktor telah mengesahkan kematian Zara Qairina pada 17 Julai 2025 dan ketika itu, beliau berada bersama dengan doktor berkenaan di HQE I.

Saksi itu berkata beliau berada di HQE I dari 16 hingga 17 Julai dan tidur di kawasan hospital untuk menunggu perkembangan berkaitan anaknya.

Beliau juga memaklumkan ada berjumpa dengan beberapa guru wanita di luar unit kecemasan untuk bertanya apa sebenarnya yang berlaku kepada Zara Qairina dan sama ada mereka adalah warden.

“Namun, mereka hanya memperkenal diri mereka sebagai guru Sejarah dan guru Bahasa Melayu,” katanya.

Ketika ditanya oleh Amir Shah sama ada saksi itu ingin menyampaikan sesuatu selepas selesai memberi keterangan, Mahathir berkata beliau tidak mahu nama Zara Qairina dikaitkan lagi dengan perkara yang tidak benar dan berharap prosiding inkues ini dapat diselesaikan secara adil untuk anaknya.

Zara Qairina meninggal dunia di HQE pada 17 Julai 2025, sehari selepas ditemukan tidak sedarkan diri di dalam longkang berhampiran asrama sekolahnya kira-kira 4 pagi.

Prosiding bersambung pada Rabu.

Intipati
  • Mahathir berkata doktor memaklumkan Zara Qairina mungkin koma sepanjang hayat jika masih hidup.
  • Beliau berkata Zara mengalami kecederaan serius termasuk pendarahan otak, paru-paru, buah pinggang dan patah kaki.
  • Zara Qairina meninggal dunia sehari selepas ditemukan tidak sedarkan diri berhampiran asrama sekolahnya.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan