Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

KOTA KINABALU, 25 Jun (Bernama) -- Seorang pemeriksa dokumen forensik memberitahu Mahkamah Koroner di sini hari ini bahawa ketidakupayaannya mengenal pasti penulis beberapa catatan pada helaian kertas dikoyakkan yang dikaitkan dengan Allahyarham Zara Qairina Mahathir tidak bermakna catatan tersebut ditulis individu lain.
Pemeriksa dokumen forensik dan pakar tulisan tangan bertauliah, Dr Linthini Gannetion berkata dapatan beliau yang diklasifikasikan sebagai "tiada kesimpulan" hanya bermaksud beliau tidak dapat menentukan penulis dokumen berkenaan berdasarkan sampel tulisan tangan yang diberikan kepadanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan peguam Azhier Farhan Arisin, yang mewakili empat pelajar dikaitkan dengan kematian Zara Qairina, dalam prosiding inkues di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan.
Apabila Azhier Farhan mengemukakan bahawa dapatan "tiada kesimpulan" itu tidak menunjukkan catatan berkenaan ditulis oleh orang lain, sebaliknya hanya mencerminkan ketidakupayaan beliau untuk membuat penentuan, Linthini bersetuju dengan kenyataan tersebut Mahkamah turut diberitahu bahawa Linthini tidak mempunyai akses kepada sampel tulisan tangan dari November 2024 hingga Januari 2025 untuk dibandingkan dengan dokumen yang dipertikaikan itu.
Saksi ke-74 itu, yang memiliki Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam pemeriksaan dokumen forensik dari Universiti Sains Malaysia, bersetuju bahawa ketiadaan sampel berkenaan merupakan kekurangan pada bahan yang tersedia untuk beliau analisis, dan bukannya kecacatan pada helaian kertas dikoyakkan tersebut.
Beliau turut bersetuju bahawa perbandingan menggunakan sampel tulisan berbentuk jurnal yang ditulis dalam tempoh masa sama akan memberikan hasil lebih dipercayai, dan beliau mungkin dapat membuat kesimpulan sekiranya sampel tersebut disediakan kepadanya.
Mahkamah turut diberitahu bahawa helaian kertas dikoyakkan itu disahkan daripada diari "Love and Peace" yang dipercayai milik Zara Qairina, dengan Linthini bersetuju bahawa halaman-halaman tersebut adalah tulen dan bukannya dokumen palsu yang diselitkan daripada sumber lain.
Semasa soal balas, Azhier Farhan turut merujuk Linthini kepada beberapa catatan berkaitan keadaan emosi Zara Qairina serta tulisan mengenai ibunya, dan Linthini menyatakan dapatan beliau terhadap dokumen tersebut sebahagiannya dapat dikaitkan dengan si mati manakala sebahagian lagi tidak dapat dipastikan.
Mahkamah juga diberitahu bahawa bagi catatan yang tidak dapat dikaitkan oleh Linthini kepada Zara Qairina, pemeriksa dokumen Jabatan Kimia Malaysia, Nurul Atiqah Mohd Noh, telah mengaitkannya dengan si mati.
Zara Qairina meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth pada 17 Julai 2025, sehari selepas dia ditemui tidak sedarkan diri dalam longkang berhampiran asrama sekolahnya kira-kira 4 pagi.
Pada 13 Ogos 2025, Jabatan Peguam Negara (AGC) mengarahkan inkues dijalankan selepas meneliti laporan siasatan polis, manakala pada 8 Ogos 2025, AGC mengeluarkan perintah menggali semula kubur Allahyarham bagi membolehkan bedah siasat dijalankan. Prosiding inkues bersambung esok.