Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim menafikan sekeras-kerasnya dakwaan bahawa Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi terlibat dalam sebarang usaha untuk menjatuhkan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir.
Ismail berkata, beliau kekal menjunjung dan mempertahankan keluhuran institusi Raja-Raja Melayu serta prinsip Raja Berperlembagaan.
“Saya menafikan sekeras-kerasnya penglibatan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, dalam sebarang usaha untuk menjatuhkan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, beliau sentiasa menyokong Presiden UMNO serta seluruh barisan kepimpinan parti yang menjunjung, mempertahankan dan memelihara keluhuran institusi Raja-Raja Melayu serta prinsip Raja Berperlembagaan.
Jelasnya, isu yang melibatkan adat di Negeri Sembilan itu diharapkan dapat diselesaikan dengan baik, penuh hikmah dan mengikut lunas undang-undang.
“Semoga isu ini diselesaikan dengan hikmah dan mengikut lunas undang-undang demi menjamin kestabilan, keharmonian dan kesejahteraan rakyat Negeri Sembilan,” katanya.
Beliau berkata, pendirian berkenaan selaras dengan komitmennya untuk mempertahankan institusi Raja-Raja Melayu dan prinsip Raja Berperlembagaan.
Ismail turut berharap semua pihak memberikan ruang agar perkara berkenaan dapat diselesaikan secara baik dan mengikut kerangka undang-undang yang ditetapkan.

