Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Empat Petugas KKM Antara Lima Kru Helikopter FDS Dilaporkan Terhempas Di Long Lellang

KKM
Kredit: Media sosial

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sedang memantau rapat insiden sebuah helikopter Perkhidmatan Doktor Udara (Flying Doctor Service - FDS) yang dilaporkan terhempas berhampiran Lapangan Terbang (STOLport) Long Lellang, Sarawak, petang tadi.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, KKM bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa keselamatan, pasukan mencari dan menyelamat (SAR) serta agensi penerbangan berkaitan bagi mendapatkan maklumat tepat dan terkini mengenai kejadian.

Katanya, penerbangan yang berlepas dari Miri itu dikendalikan seorang juruterbang dan membawa empat petugas kesihatan KKM yang sedang menjalankan tugas rasmi.

“Berdasarkan maklumat awal yang diterima, penerbangan yang berlepas dari Miri dikendalikan seorang juruterbang dan membawa empat petugas kesihatan KKM yang sedang menjalankan tugas rasmi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Dzulkefly, empat petugas kesihatan terbabit terdiri daripada seorang Pegawai Perubatan, seorang Penolong Pegawai Perubatan (PPP) dan dua jururawat.

Bagaimanapun, beliau berkata status kesemua kru dan penumpang serta punca kejadian masih belum dapat dipastikan setakat ini.

“Saya amat berdukacita apabila menerima laporan awal berhubung insiden sebuah helikopter Perkhidmatan Doktor Udara (Flying Doctor Service - FDS) KKM yang dilaporkan terhempas pada petang ini,” katanya.

Dalam pada itu, Dzulkefly berkata pasukan SAR bersama pasukan perubatan dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) telah berada di lokasi kejadian dan operasi sedang giat dijalankan.

Beliau berkata, KKM juga sedang berusaha menghubungi waris serta ahli keluarga petugas yang terlibat bagi memberikan sokongan sewajarnya.

Sehubungan itu, Dzulkefly memohon kerjasama media dan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan.

Jelasnya, langkah itu penting bagi menghormati perasaan ahli keluarga yang terlibat selain memastikan hanya maklumat sahih disebarkan kepada umum.

“Sebarang perkembangan lanjut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa setelah mendapat pengesahan rasmi daripada pihak berkuasa.

“Sama-sama kita doakan agar segala urusan pencarian dan menyelamat dipermudahkan,” ujarnya.

Intipati
  • Helikopter FDS KKM dilaporkan terhempas berhampiran STOLport Long Lellang, Sarawak, petang tadi.
  • Penerbangan dari Miri membawa seorang juruterbang dan empat petugas kesihatan KKM bertugas rasmi.
  • Status kru, penumpang dan punca kejadian masih belum dipastikan, menurut Dr Dzulkefly.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan