Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Israel Lancar Serangan Ke Atas Lubnan
Israel dilapor melancarkan serangan ke atas beberapa kawasan di Lubnan termasuk Beirut selepas kumpulan Hizbullah melepaskan roket ke arah Israel.
AFP melaporkan Hizbullah yang disokong oleh Tehran, mendakwa serangan itu sebagai tindak balas terhadap pembunuhan Pemimpin Tertinggi Iran, Ali Khamenei.
Manakala Tentera Israel pula mendakwa serangan menyasarkan kedudukan Hizbullah di seluruh Lubnan.
Difahamkan, letupan kuat dilaporkan berlaku di Beirut, terutamanya di pinggir selatan, yang merupakan kubu kuat kumpulan itu.

Serangan ini turut menyebabkan penduduk berpindah dari kawasan yang terjejas.
Perdana Menteri Lubnan, Nawaf Salam menyatakan bahawa kerajaan akan mengambil semua langkah yang perlu untuk memastikan keselamatan rakyatnya.
Lubnan sebelum ini menegaskan bahawa ia tidak ingin tercampur dalam konflik serantau susulan serangan Amerika Syarikat dan Israel terhadap Iran.
Presiden Lubnan Jeneral Joseph Aoun menegaskan serangan dari wilayah Lubnan berisiko menarik negara itu ke dalam konflik serantau.
Beliau turut mengecam serangan Israel, namun menasihatkan agar Lubnan tidak terjerumus ke dalam “perang serantau yang tiada kaitan dengan negara itu".
Tentera Israel memaklumkan bahawa beberapa peluru berpandu yang dilepaskan dari Lubnan pada Isnin “jatuh di kawasan terbuka,” tanpa sebarang laporan segera mengenai kerosakan atau kecederaan.
Tiga jam kemudian, siren amaran serangan udara dilaungkan di beberapa bahagian utara Israel bagi memberi amaran kehadiran dron.

“Hezbullah membuka ruang ke atas Israel semalaman dan bertanggungjawab sepenuhnya terhadap sebarang peningkatan ketegangan,” kata ketua tentera Israel, Eyal Zamir, menurut kenyataan rasmi.
Agensi Berita Nasional Lubnan (NNA) melaporkan berlaku “pemindahan besar-besaran” dari pinggir selatan Beirut dan kawasan selatan negara itu berhampiran sempadan Israel, ketika penduduk cuba meninggalkan kawasan berkenaan.
Rakaman media tempatan menunjukkan jalan-jalan dipenuhi kereta yang ditinggalkan di pinggir selatan Beirut.
Di bahagian selatan sepanjang pantai Mediterranean, seorang wartawan AFP di Sidon menyaksikan barisan panjang kenderaan dipenuhi keluarga yang datang dari arah sempadan.
Pejabat perdana menteri Lubnan turut berkongsi senarai sekolah awam yang dijadikan tempat perlindungan bagi penduduk yang dipindahkan.