Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Isteri Bekas PM Nepal Maut, Rumah Dibakar Penunjuk Perasaan
Isteri kepada bekas Perdana Menteri Nepal, Jhalanath Khanal, dilaporkan maut selepas kediaman mereka di kawasan Dallu, Kathmandu, dibakar oleh sekumpulan penunjuk perasaan pada Selasa.
Mangsa, Rajyalaxmi Chitrakar, dipercayai terperangkap ketika kumpulan perusuh menyerang rumah tersebut sebelum membakarnya.
Menurut sumber keluarga, mangsa sempat dibawa ke Hospital Kecederaan Melecur Kirtipur namun disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan.
Gelombang protes yang pada mulanya tercetus akibat larangan sementara penggunaan media sosial kini bertukar menjadi penentangan lebih besar terhadap kerajaan. Ini termasuk dakwaan salah guna kuasa serta rasuah dalam kalangan elit politik negara itu.
Media tempatan melaporkan, Menteri Kewangan Bishnu Prasad Paudel, 65, turut menjadi mangsa apabila diburu di jalanan sebelum dipukul dan ditendang dengan kejam, berdasarkan rakaman video tular.
Protes besar-besaran yang dipimpin oleh golongan belia ini bermula sehari sebelumnya selepas kerajaan menyekat akses ke platform popular seperti Facebook, X dan YouTube, dengan alasan syarikat terbabit gagal berdaftar serta tunduk kepada kawal selia kerajaan.
Walaupun larangan media sosial ditarik balik pada Isnin malam, tunjuk perasaan terus merebak.
Bangunan Parlimen serta beberapa kediaman pemimpin utama dibakar, manakala lapangan terbang di Kathmandu ditutup. Beberapa menteri terpaksa dipindahkan menggunakan helikopter tentera ke lokasi selamat.
Difahamkan, kemuncak kemarahan rakyat turut disebabkan rasa tidak puas hati terhadap anak-anak pemimpin politik, yang digelar “Nepo Kids”. Ini kerana mereka dikatakan menikmati gaya hidup mewah sedangkan majoriti golongan muda bergelut untuk mendapatkan pekerjaan.
Susulan krisis yang semakin meruncing, kerajaan India menasihatkan rakyatnya menangguhkan perjalanan ke Nepal sehingga keadaan kembali stabil.
Beberapa syarikat penerbangan termasuk Air India, IndiGo dan Nepal Airlines turut membatalkan penerbangan dari Delhi ke Kathmandu pada Selasa.
BACA: Perdana Menteri Nepal Letak Jawatan Selepas Protes Ganas
BACA: KPT Perjelas Isu Pelajar STPM Tidak Dapat Tawaran Masuk UM
BACA: Fadhlina Buat Laporan Polis, Isu Fitnah Kaitkan Dengan Pengetua SMKA Tun Datu Mustapha
Sumber: NDTV News