Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Isteri Menangis Terima Kejutan Hadiah Proton e.Mas 5 Dari Suami, Rupanya Netizen Jadi 'Big Supporter'

Hadiah Proton e.Mas 5
Kredit: Threads @remyothman
Artikel ini diolah & diterbitkan ke Siakap Keli dengan kebenaran dari sumber asal

Kasih sayang dalam rumah tangga tidak semestinya dizahirkan melalui kata-kata, sebaliknya boleh ditunjukkan menerusi usaha dan pengorbanan untuk membahagiakan pasangan.

Bagi sesetengah suami, melihat isteri tersenyum dan memiliki sesuatu yang diimpikan sudah cukup menjadi satu kepuasan.

Lebih menarik apabila usaha tersebut memerlukan cabaran yang bukan mudah untuk diselesaikan.

Dalam dunia media sosial, pelbagai cabaran kini hadir dengan syarat dan sasaran tertentu, termasuk mendapatkan sokongan serta penglibatan netizen sebelum sesuatu impian dapat direalisasikan.

Isteri menangis terima kejutan hadiah Proton e.Mas 5

Baru-baru ini, perkongsian seorang pengguna Threads, @remyothman, mencuri perhatian ramai selepas berkongsi momen kejutan buat isterinya yang langsung tidak menyangka bakal menerima sebuah Proton e.MAS 5, kereta yang selama ini menjadi idamannya.

Menerusi klip video tersebut, pasangan berkenaan dilihat berkunjung ke sebuah pusat jualan Proton sebelum jurujual meminta isterinya membuat semakan menerusi aplikasi MyJPJ sebagai pengesahan.

Pada awalnya, wanita itu kelihatan tenang dan masih tidak mengesyaki apa-apa.

Kredit: Threads @remyothman

Namun, sebaik melihat maklumat kenderaan yang dipaparkan sepadan dengan kereta di hadapan matanya, barulah dia mula menyedari sesuatu sebelum spontan bertanya dengan nada terkejut, “Dah sampai ke? Abang dah ada ke?”

Detik itu ternyata menjadi kejutan yang tidak akan dilupakan apabila wanita berkenaan akhirnya menyedari kereta di hadapan mereka sebenarnya adalah miliknya.

Melihat kereta idaman yang selama ini hanya diimpikan kini berada di depan mata, wanita itu tidak dapat menahan sebak sebelum air matanya mengalir.

Kredit: Threads @remyothman

Dalam suasana penuh emosi itu, dia terus memeluk erat suaminya sebagai tanda terima kasih atas hadiah istimewa yang langsung tidak disangka-sangkanya.

Kejutan tersebut bukan sekadar tentang sebuah kereta baharu, tetapi menjadi bukti bagaimana seorang suami sanggup berusaha merealisasikan impian kecil isterinya, sekali gus mencipta satu kenangan manis buat mereka berdua.

Rupa-rupanya netizen jadi 'big supporter'

Sekitar empat bulan lalu, suaminya pernah memuat naik tangkap layar perbualan WhatsApp bersama isterinya yang pada awalnya kelihatan seperti gurauan biasa.

Dalam perbualan itu, si isteri secara spontan menyuarakan hasrat untuk memiliki Proton e.MAS 5 yang menjadi idamannya.

“Abang, sayang nak budak pink ni boleh tak?” tulisnya.

Membalas permintaan tersebut dengan nada berseloroh, suaminya kemudian meletakkan satu cabaran yang pada ketika itu mungkin disangka sekadar gurauan.

Kredit: Threads @remyothman

“Kalau dapat 35K likes, abang belikan. Hahahah, tryla,” balasnya.

Tidak disangka, gurauan kecil itu akhirnya menjadi kenyataan apabila cabaran tersebut berjaya mendapat sokongan netizen dan membawa kepada kejutan istimewa buat isterinya beberapa bulan kemudian.

Tidak lupa juga, isterinya ternyata mengikuti rapat perkembangan hantaran tersebut dari semasa ke semasa.

Selepas sasaran 35,000 tanda suka berjaya dicapai hasil sokongan netizen, dia meluahkan kegembiraan apabila menyedari cabaran yang diberikan suaminya akhirnya berjaya.

“Yayy, dapat e.MAS 5. The power of wanita” katanya dengan penuh teruja.

Kredit: Threads @remyothman

Melihat sasaran tersebut berjaya dicapai, suaminya pula seakan tidak mahu menunggu lama sebelum membalas dengan satu ayat yang membuatkan isterinya semakin teruja.

“Okay jap, abang pergi recce,” katanya.

Kredit: Threads @remyothman

Perkongsian yang dimuat naik kira-kira empat bulan lalu itu bukan sahaja berjaya melepasi sasaran 35,000 likes, malah mencatat angka jauh lebih tinggi apabila hampir mencecah 100,000 likes.

Jelas sekali, sokongan netizen yang pada awalnya sekadar ingin membantu mencapai sasaran akhirnya menjadi antara faktor yang membawa impian isterinya untuk memiliki Proton e.MAS 5 menjadi kenyataan.

Intipati
  • Pengguna Threads @remyothman mengejutkan isterinya dengan hadiah Proton e.MAS 5 idamannya.
  • Isterinya menangis selepas menyedari kereta di pusat jualan itu sebenarnya miliknya.
  • Cabaran 35,000 likes yang bermula sebagai gurauan berjaya dicapai dengan sokongan netizen.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan