Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Isu Buli Di Sekolah: Lim Guan Eng Cadang Perluas Hukuman Rotan, Periksa Psikologi Guru

BULI
Kredit: Facebook Guan Eng

Cadangan memperluas penggunaan rotan di sekolah serta memperkukuh langkah keselamatan pelajar antara isu yang dibangkitkan pada penghujung minggu pertama perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan (Belanjawan) 2027 peringkat dasar di Dewan Rakyat, hari ini.

Lim Guan Eng (PH-Bagan) mencadangkan supaya penggunaan rotan di sekolah diperluas sebagai antara langkah menangani masalah disiplin dan buli.

Beliau turut mencadangkan supaya guru yang ditugaskan melaksanakan hukuman berkenaan menjalani pemeriksaan psikologi secara berkala.

“Mengapa pada zaman sekolah kami dahulu pada 1970-an, merotan dibenarkan secara meluas, tidak ada kes bunuh atau rogol berlaku seperti sekarang? Malah, tidak ada kesan psikologi negatif ke atas pelajar dan ramai daripada mereka yang berjaya serta masyhur,” katanya.

Selain itu, Lim mengesyorkan peruntukan kecemasan bagi pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di lebih 10,000 sekolah kerajaan di seluruh negara.

Beliau turut mencadangkan pembentukan sistem sokongan antibuli dan antigangguan seksual yang menyeluruh, termasuk meningkatkan rondaan keselamatan serta melaksanakan program libat urus bersama pelajar dan ibu bapa.

Sementara itu, Ramkarpal Singh (PH-Bukit Gelugor) berkata isu keselamatan dan gejala buli di sekolah tidak boleh dipandang ringan.

Beliau mencadangkan peruntukan khas bagi melatih guru mengenal pasti tanda awal tekanan emosi serta potensi keganasan dalam kalangan murid.

Ramkarpal turut menggesa supaya setiap sekolah dilengkapi bilangan kaunselor yang mencukupi, selain melaksanakan program penilaian psikologi berstruktur bagi membolehkan intervensi awal dilakukan.

Intipati
  • Lim Guan Eng mencadangkan penggunaan rotan diperluas bagi menangani disiplin dan buli.
  • Beliau mencadangkan guru pelaksana hukuman rotan menjalani pemeriksaan psikologi secara berkala.
  • Ramkarpal Singh mengesyorkan latihan guru, kaunselor mencukupi dan penilaian psikologi berstruktur.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan