Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Isu Kedudukan Yang di-Pertuan Besar Perlu Diselesaikan Ikut Adat, Perlembagaan - UMNO Negeri Sembilan

KEDUDUKAN
Tuanku Muhriz

UMNO Negeri Sembilan memandang serius perkembangan terbaharu berhubung proklamasi yang menyentuh kedudukan Tuanku Muhriz Almarhum Tuanku Munawir sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.

Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan dalam satu kenyataan hari ini berkata, pihaknya turut mengambil maklum penjelasan dan pendirian Undang Yang Empat menerusi sidang media pada 8 September lalu.

Menurutnya, perkara berkaitan kedudukan Yang di-Pertuan Besar tidak seharusnya ditentukan secara bersendirian oleh mana-mana parti politik, kerajaan negeri atau individu.

Sebaliknya, ujarnya, perkara itu perlu dilihat dan diselesaikan berlandaskan adat, prerogatif serta peruntukan perlembagaan negeri yang menjadi asas kepada keunikan sistem pemerintahan Negeri Sembilan.

“Sebarang persoalan berkaitan kedudukan institusi negeri hendaklah diselesaikan melalui saluran adat dan perundangan yang sah, telus serta menghormati struktur Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan,” menurut kenyataan itu.

Dalam pada itu, UMNO Negeri Sembilan menegaskan rakyat tidak seharusnya terus dibebankan dengan pertikaian yang berpanjangan.

Katanya, kepentingan rakyat, kestabilan negeri serta keharmonian masyarakat perlu kekal menjadi keutamaan semua pihak.

“Sebagai parti yang menjunjung Institusi Raja-Raja Melayu, UMNO Negeri Sembilan akan terus mempertahankan prinsip Raja Berperlembagaan serta menghormati adat dan perlembagaan negeri,” katanya.

Sehubungan itu, UMNO Negeri Sembilan akan mengadakan mesyuarat khas bagi menyelaras perkara berkaitan adat secara harmoni selepas selesai Perhimpunan Agung UMNO 2026.

Dalam masa sama, UMNO Negeri Sembilan menyeru seluruh rakyat supaya kekal tenang dan memberikan ruang kepada proses sewajarnya untuk berjalan.