Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Isu Tanah Kg Melayu Majidi: Dakwaan Kerajaan Johor Tidak Bertindak Tidak Berasas

tanah kg melayu majidi
Kredit: Bernama

Isu Tanah Kg Melayu Majidi: Dakwaan Kerajaan Johor Tidak Bertindak Tidak Berasas

JOHOR BAHRU, 2 Julai (Bernama) -- Dakwaan Kerajaan Negeri Johor tidak mengambil sebarang tindakan berhubung isu tanah penduduk Kampung Melayu Majidi di sini adalah tidak benar, tidak berasas dan mengelirukan rakyat.

Bekas Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri Mohd Hairi Mad Shah berkata sehingga 31 Mei lepas, kerajaan negeri telah mempermudahkan pendekatan pentadbiran melalui Seksyen 90A Kanun Tanah Negara (KTN) supaya permohonan sambung pajakan lebih jelas dan teratur.

Beliau berkata diskaun premium sebanyak 50 peratus turut ditawarkan untuk meringankan beban penduduk, selain mengadakan empat sesi program turun padang ke kampung berkenaan dengan membabitkan 91 penduduk.

“Sebanyak 35 permohonan telah diterima, diluluskan dan sudah menerima Notis 5A dengan penyerahan pertama oleh Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi pada 26 Mei tahun lepas dan terbaharu pada 26 Jun lepas,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Mohd Hairi yang juga calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (ADUN) Larkin pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini berkata permohonan lain sedang diproses untuk kelulusan.

Selain itu, beliau berkata rekod Pejabat Tanah Daerah Johor Bahru menunjukkan sebanyak 938 rumah di kampung tersebut mempunyai baki tempoh pajakan 30 tahun dan ke bawah, 426 unit (31 hingga 60 tahun), manakala 23 lagi berbaki 61 tahun ke atas.

Mohd Hairi berkata kaunter khas untuk permohonan penyambungan tempoh pajakan juga dibuka di Medan Niaga Kampung Melayu Majidi sejak Isnin lepas sehingga esok.

Beliau berkata sebanyak 77 penduduk tampil mengemukakan permohonan dalam tempoh dua hari pertama kaunter dibuka, sekali gus menunjukkan keyakinan mereka terhadap pendekatan kerajaan.

Beliau turut mempersoalkan pihak yang lantang mengkritik namun gagal membawa penyelesaian menyeluruh ketika mempunyai peluang dan kedudukan untuk membuat dasar sebelum ini.

"Menjanjikan sesuatu yang terikat undang-undang, sambil menuding jari dari luar, bukanlah perjuangan, itu politik murahan yang menjadikan penduduk sebagai modal," katanya.

Beliau berkata BN komited memastikan setiap penyelesaian berkaitan isu berkenaan dilaksanakan secara telus dan berpaksikan kebajikan penduduk serta selari dengan semangat memperkasa komuniti bangsa Johor.

Sebelum ini, Pemimpin Parti Bersama Malaysia (Bersama) Datuk Seri Rafizi Ramli menerusi rakaman video yang tular di media sosial mendakwa wakil rakyat daripada UMNO di kawasan berkenaan tidak menyuarakan isu melibatkan tanah pajakan di Kampung Melayu Majidi.