Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

JAIS Tahan Dua Beranak Susulan Video Ritual Tular

JAIS
Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Mohd Shahzihan Ahmad. Kredit: Bernama

Seorang lelaki yang tular selepas dipercayai melakukan ritual agama lain yang bertentangan dengan hukum syarak ditahan bersama ibunya bagi membantu siasatan pada hari ini.

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Mohd Shahzihan Ahmad mengesahkan penahanan dua beranak itu pada tengah hari menerusi waran tangkap yang dikeluarkan oleh Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam.

Penahanan berkenaan dilaksanakan oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI).

Menurutnya, kedua-dua individu itu kini disiasat JAIS mengikut Seksyen 4 dan Seksyen 10 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995.

Beliau berkata, hasil risikan susulan penularan kes berkenaan, JAIS dijangka memanggil sekurang-kurangnya 14 individu lain bagi membantu siasatan.

Mohd Shahzihan berkata, JAIS memandang serius perkara itu dan akan memastikan sebarang tindakan diambil berdasarkan bidang kuasa, peruntukan undang-undang serta fakta kes.

Pihaknya turut meminta orang ramai memberikan ruang kepada pihak berkuasa untuk melengkapkan siasatan, selain tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan.

Terdahulu, dua individu berusia 21 dan 52 tahun itu dibawa ke Bahagian Pengurusan Penguatkuasaan JAIS di Bangunan Sultan Idris Shah pada kira-kira 3.50 petang bagi membantu siasatan.

Sebelum ini, JAIS memaklumkan pihaknya sedang menyiasat hantaran tular berhubung tindakan seorang individu yang dipercayai beragama Islam melakukan ritual agama lain yang didakwa bertentangan dengan hukum syarak.

Dalam perkembangan berkaitan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) memaklumkan pihaknya sedang mengambil tindakan bersama-sama pihak berkuasa susulan penularan beberapa rakaman video berkaitan kejadian itu.