Singapura pada Isnin mengaktifkan skim subsidi rawatan perubatan berkaitan jerebu susulan kualiti udara tidak sihat akibat kebakaran hutan di Indonesia.
Subsidi itu diaktifkan bagi membolehkan rakyat mendapatkan rawatan pada kadar berpatutan untuk masalah kesihatan berkaitan jerebu, lapor AFP.
Kementerian Kesihatan Singapura dalam satu kenyataan lewat Ahad memaklumkan bahawa subsidi kerajaan itu meliputi beberapa penyakit termasuk rinitis alergi, asma, bronkitis, konjunktivitis, penyakit pulmonari obstruktif kronik (COPD), jangkitan saluran pernafasan atas serta komplikasi berkaitan.
Subsidi Rawatan Jerebu
Kos rawatan dihadkan kepada S$10 (RM31.92) bagi kebanyakan rakyat Singapura yang layak, manakala warga emas berusia 67 tahun ke atas hanya perlu membayar S$5 (RM15.96).
Kali terakhir Singapura mengaktifkan skim subsidi rawatan jerebu adalah pada 2015, apabila asap daripada kebakaran hutan di Indonesia menyelubungi Asia Tenggara selama beberapa minggu.
Sementara itu, Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan Singapura (NTUC) pada Isnin mengumumkan bahawa pekerja pengangkutan awam dan penghantar makanan layak menerima pelitup muka N95 secara percuma.
Penolong Setiausaha Agung NTUC, Yeo Wan Ling berkata, Kesatuan Pekerja Pengangkutan Kebangsaan turut akan membuka kantin di 30 hab pertukaran dan terminal bas bagi membolehkan penghantar makanan mengisi semula botol air serta berehat.
Menurut firma pemantau kualiti udara berpangkalan di Switzerland, IQAir, Singapura sekali lagi mencatatkan kedudukan teratas dalam senarai bandar utama paling tercemar di dunia pada petang Isnin.
Keadaan itu berpunca daripada kebakaran hutan di Pulau Borneo dan Sumatera yang semakin buruk akibat fenomena cuaca El Nino yang luar biasa kuat, sekali gus menyebabkan jerebu toksik terus merebak.
Kebakaran tersebut turut menyebabkan jerebu teruk di kawasan berhampiran, dengan puluhan ribu kes penyakit pernafasan dilaporkan.

Indonesia sering berdepan kebakaran hutan ketika musim kemarau, namun keadaan tahun ini bertambah buruk akibat fenomena El Nino yang dijangka menjadi antara paling kuat sejak rekod perbandingan bermula empat dekad lalu.
Pakar turut mengaitkan keadaan itu dengan amalan pembukaan tanah secara tebang dan bakar yang telah mengubah landskap semula jadi yang sebelum ini mempunyai daya tahan terhadap kebakaran.
