Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Jajaran Baharu Bukit Kayu Hitam-Sadao Dibuka Esok – PM Anwar

SADAO
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim

Jajaran Baharu Bukit Kayu Hitam-Sadao Dibuka Esok – PM Anwar

Jajaran jalan baharu yang menghubungkan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam dengan Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Sadao dijangka menjadi pemangkin baharu kepada pertumbuhan ekonomi di utara Semenanjung Malaysia dan selatan Thailand.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, projek bersejarah itu bukan sahaja memperkukuh hubungan dua hala Malaysia-Thailand, malah mampu merangsang pembangunan ekonomi di kawasan sempadan yang masih memerlukan perhatian.

“Saya percaya projek baharu ini mampu menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi kedua-dua kawasan sempadan negara demi kesejahteraan rakyat,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Jajaran Jalan Baharu yang menghubungkan ICQS Bukit Kayu Hitam dengan CIQ Sadao di Songkhla, Thailand yang disiarkan menerusi Facebook hari ini.

Majlis perasmian tersebut disempurnakan bersama Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul yang mengetuai delegasi negara itu dalam lawatan rasmi berkenaan.

Jajaran baharu itu akan mula dibuka kepada semua pengguna jalan raya bermula pukul 6 pagi esok, manakala pintu sempadan sedia ada yang menghubungkan Bukit Kayu Hitam dengan Danok akan ditutup sepenuhnya bermula pukul 12 tengah malam ini.

Menurut Anwar, laluan baharu itu dijangka memperkukuh hubungan strategik Malaysia dan Thailand melalui kerjasama rentas sempadan yang lebih erat, selain meningkatkan kesalinghubungan Koridor Ekonomi Utara-Selatan ASEAN.

Beliau berkata, projek tersebut turut dijangka melancarkan urusan perdagangan, logistik dan rantaian bekalan, di samping meningkatkan kecekapan proses keluar masuk negara serta memperkukuh kawalan keselamatan sempadan menerusi penggunaan infrastruktur moden.

Dalam pada itu, Anwar merakamkan penghargaan kepada Anutin kerana memilih untuk mengadakan pertemuan di kawasan sempadan berbanding di ibu negara.

“Saya benar-benar menghargai kesediaan beliau untuk turun sendiri ke kawasan yang jauh dan masih kurang membangun bagi melihat keadaan sebenar serta mencari jalan menyumbang kepada kemajuan wilayah ini,” ujarnya.

Menurut beliau, pembangunan Zon Ekonomi Khas Sempadan melibatkan negeri-negeri di utara Malaysia dan selatan Thailand akan menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi serta meningkatkan kesejahteraan rakyat di kedua-dua negara.

Katanya, inisiatif berkenaan lahir daripada iltizam bersama kepimpinan Malaysia dan Thailand untuk mempercepat pembangunan ekonomi rentas sempadan selepas melalui rundingan yang berlangsung selama bertahun-tahun.

“Kita telah mengambil masa bertahun-tahun, malah ada yang berlarutan sehingga beberapa dekad melalui pelbagai rundingan dan mesyuarat. Namun kebanyakan isu tertunggak berjaya kita selesaikan semalam dalam tempoh yang sangat pantas,” jelasnya.

Anwar berkata, kedua-dua negara turut menegaskan semula sasaran meningkatkan nilai perdagangan dua hala kepada AS$30 bilion menjelang 2027, selain bersetuju mempercepat penyelesaian pelbagai isu melibatkan kastam, imigresen, perdagangan dan eksport makanan laut.

“Tiada sebab lori perlu menunggu berjam-jam di pusat pemeriksaan sempadan. Kita mahu proses pelepasan dipercepatkan dan kos dikurangkan supaya manfaatnya dapat dinikmati rakyat serta komuniti perniagaan,” katanya.

Tambah beliau, kejayaan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura yang merekodkan nilai perdagangan kira-kira RM77 bilion membuktikan model kerjasama ekonomi rentas sempadan mampu memberikan impak besar, sekali gus beliau optimis pendekatan sama mampu membawa manfaat kepada kawasan sempadan Malaysia-Thailand.