Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook mengarahkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengambil tindakan terhadap mana-mana petugas kempen Pakatan Harapan (PH) yang didapati menunggang motosikal tanpa memakai topi keledar sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Anthony berkata, arahan itu dikeluarkan susulan penularan rakaman video yang memaparkan sekumpulan petugas kempen PH, termasuk daripada DAP, menunggang motosikal tanpa memakai topi keledar ketika berkempen.
Menurut beliau, penguatkuasaan perlu dilaksanakan secara adil tanpa mengira latar belakang atau fahaman politik.
“Saya sudah arahkan JPJ mengeluarkan saman kepada sesiapa sahaja yang didapati melanggar peraturan ini berdasarkan bukti rakaman video yang tular, tanpa mengira latar belakang politik.
“Ini termasuk mereka yang terlibat dalam konvoi kempen PH di Johor,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Anthony berkata, pendirian itu selaras dengan prinsip yang telah lama dipegangnya bahawa semua penunggang motosikal wajib mematuhi undang-undang keselamatan jalan raya, termasuk memakai topi keledar setiap kali menunggang.
Beliau berkata, ketika membangkitkan isu sama melibatkan pemimpin Barisan Nasional (BN) semasa kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Slim hampir enam tahun lalu, beliau turut menegaskan bahawa berkempen menggunakan motosikal bukan satu kesalahan.
“Namun, setiap penunggang wajib memakai topi keledar dan menunjukkan teladan yang baik kepada masyarakat,” ujarnya.
Menurut Anthony, prinsip tersebut kekal terpakai kepada semua pihak tanpa sebarang pengecualian termasuk calon serta petugas kempen Pakatan Harapan.
“Undang-undang keselamatan jalan raya tidak mengenal parti politik.
“Undang-undang mesti dikuatkuasakan secara adil dan saksama kepada semua rakyat Malaysia. Saya tidak akan berkompromi dengan prinsip ini walaupun ia melibatkan rakan sekempen sendiri.
“Keselamatan nyawa rakyat mengatasi kepentingan politik mana-mana pihak,” katanya.
Sebelum ini, tular satu rakaman video yang memaparkan jentera PH termasuk Naib Pengerusi DAP Johor, Sheikh Umar Bagharib Ali menunggang motosikal tanpa memakai topi keledar ketika berkempen pada PRN Johor.
Video berkenaan dipercayai dirakam dari sebuah kenderaan yang dinaiki Ahli Parlimen Bukit Bendera, Syerleena Abdul Rashid.