Jangan Buang Roti Hampir Tamat Tempoh, Boleh Cuba Buat Roti Kering Bergula
Ketika waktu petang atau hujan turun dengan lebat, suasana seakan lebih tenang dan menyenangkan.
Namun di waktu yang sama muncul keinginan untuk menikmati sesuatu yang ringan dan lazat bagi mengisi perut.
Saat-saat seperti ini merupakan waktu yang sesuai untuk mencari kudapan yang tidak hanya mengenyangkan tetapi juga memuaskan selera.
Secawan minuman hangat, sepotong kuih yang manis dan lembut atau hidangan ringan yang penuh rasa dapat memberikan kehangatan dan kenyamanan, terutama ketika suasana di luar redup atau hujan turun.
Tiada yang lebih indah daripada makan bersama keluarga sambil menikmati secawan kopi ‘o’ atau teh ‘o’ panas.
Justeru, kali ini SK nak kongsikan resipi Roti Kering Bergula yang sangat mudah. Jom tengok resipi yang dikongsikan oleh pengguna Facebook, Masak Apa Tak Jadi Hari Ni.
Ini resipi Roti Kering Bergula
Daripada membeli di kedai, anda boleh sahaja membuat roti kering bergula ini sendiri seperti perkongsian resipi dari Saidatul Arnie.
Selain itu, anda boleh manfaatkan roti yang hampir nak tamat tarikh luput dengan membuat biskut ini.
Bahan-bahan dan cara membuatnya
Anda hanya memerlukan roti, planta atau marjerin dan gula pasir.
Pertama sekali, anda perlu sapukan planta atau marjerin di atas permukaan roti dengan rata.
Kemudian, anda perlu tabuh gula pasir di atasnya. Setelah itu, potong roti kepada dua bahagian.

Langkah seterusnya adalah bakar roti tersebut pada suhu 170 selama 25 minit hingga 30 minit.
Jangan lupa untuk memantau keadaan roti semasa ia dibakar, bagi mengelakkan ia terhangus kerana bergantung juga pada jenis ketuhar masing-masing.
Hantaran berkenaan mendapat 1.1k shares
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata pengguna Facebook mengucapkan terima kasih atas perkongsian resipi tersebut.
Dalam pada itu, beberapa pengguna Facebook berkongsi hasil percubaan mereka dengan resipi tersebut.
Ada yang mengolahnya sehingga menghasilkan kelainan tersendiri. Antaranya, ada yang menambah campuran marjerin, mayonis dan madu.