Ingatan Seperti "Puzzle", Ini Sebab Kita Sukar Ingat Memori Waktu Kecil
Pernahkah anda cuba mengimbau kembali memori zaman kanak-kanak, namun yang muncul hanyalah ingatan-ingatan kecil yang tidak lengkap?
Anda mungkin ternampak wajah-wajah tertentu atau suasana yang kelihatan familiar, namun semuanya kabur.
Semakin kita berusaha untuk menyelami memori tersebut dengan lebih mendalam, semakin sukar untuk menyusunnya menjadi satu kesatuan.
Walau apapun usaha kita, yang dapat diingati hanyalah sebahagian, manakala bahagian lain seolah-olah tidak pernah wujud.
Justeru, SK kali ini akan membincangkan mengapa kita sukar untuk mengingati semula memori-memori zaman kanak-kanak.
"Childhood amnesia"
Menurut portal Very Well Mind, "childhood amnesia" atau "infatile amnesia" merujuk kepada keadaan di mana orang dewasa sukar atau tak mampu untuk mengingati memori awal zaman kanak-kanaknya.
Keadaan ini adalah perkara biasa kerana kita tidak boleh mengingati memori atau pengalaman yang pernah berlaku ketika umur 0 hingga 3 tahun.

Difahamkan, manusia cuma akan mempunyai beberapa memori terhad sebelum capai umur 10 tahun.
Situasi ini berbeza daripada masalah lupa yang biasanya dialami apabila usia meningkat.
Difahamkan, ia bukan disebabkan ingatan semakin lemah, sebaliknya kerana memori pada zaman kanak-kanak tidak disimpan dengan cara yang sama seperti memori orang dewasa.
Pusat memori terlalu padat
Satu kajian menunjukkan bahawa apabila kanak-kanak membesar, mereka kerap tersilap mengingati umur sebenar ketika sesuatu memori berlaku.
Contohnya, mereka mungkin masih ingat satu peristiwa seperti bermain dengan rakan, tetapi apabila ditanya bila ia berlaku, kanak-kanak cenderung mengatakan ia berlaku setahun atau lebih lewat daripada masa sebenar.
Salah satu sebabnya adalah perkembangan hippocampus, pusat memori dalam otak yang bertanggungjawab menyimpan pengalaman hidup kita.

Untuk pengetahuan, bahagian ini terus menghasilkan neuron-neuron baharu sehingga kita dewasa.
Semasa kecil, neuron-neuron ini terbentuk dengan sangat pantas, sehingga boleh mengganggu rangkaian memori lama yang sudah ada.
Oleh itu, kita sukar mengakses atau mengingati semula memori awal dengan jelas kerana memori lama seolah-olah tertindih antara satu sama lain.
Bahasa turut mempengaruhi ingatan kita
Menurut portal Life Book Memoirs pula, kebanyakan memori waktu kecil tidak tersusun sebagai jalan cerita yang jelas, tetapi lebih kepada serpihan ingatan seperti bunyi, imej, bau dan perasaan pada ketika itu.
Ini berlaku kerana memori awal terbentuk sebelum kita benar-benar menguasai bahasa.

Pada waktu itu, kita belum mampu menyatakan apa yang berlaku di sekeliling dengan kata-kata yang jelas.
Jadi, secara tak langsung, kita sukar mengingati semula memori tersebut kerana diri kita sendiri pun belum difahami sepenuhnya.
Apabila kemahiran bahasa berkembang dan pemahaman kita semakin meluas, barulah kita mampu menamakan setiap peristiwa serta menyimpan semua memori yang pernah dialami.
Pembentukan identiti peribadi
Difahamkan, perkembangan konsep diri memainkan peranan penting dalam cara kita mengingati memori.
Walaupun terdapat hubungan jelas antara genetik dan identiti diri, genetik bukan satu-satunya faktor yang membentuk rasa diri kita.
Sejak bayi, identiti diri mula terbentuk melalui interaksi dengan orang di sekeliling dan persekitaran.
Menjelang umur 18 bulan hingga 2 tahun, kita mula faham tentang diri sendiri dengan lebih jelas.
Pada tahap ini, kita sudah mampu mentafsir dan meletakkan kategori pemikiran serta perasaan sewaktu mengalami sesuatu peristiwa, dilihat melalui kefahaman tentang diri kita.
Seterusnya, memori kemudian menjadi sebahagian daripada kisah hidup kita.

Makna peribadi yang terkandung dalam memori tersebut memudahkan kita menyimpannya dalam memori jangka panjang dan mengingatinya semula.