Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Zaman media sosial ni, kebanyakan kita akan lebih mudah percaya apa yang kita nampak berbanding apa yang jadi disebaliknya. Termasuklah ibu bapa bila memilih barang keperluan bayi.
Ramai ibu bapa memilih puting bayi berdasarkan jenama, harga dan reka bentuk yang dianggap terbaik untuk anak. Siap ada parent yang sanggup membayar lebih sebab percaya pada jenama terkenal yang menawarkan kualiti yang lebih baik.
Tapi, masih ramai yang tidak pernah ambil tahu bagaimana bahan puting bayi itu sendiri dihasilkan sebelum berada di pasaran.
Sedangkan di sebalik produk yang nampak ringkas ini, ada proses yang menentukan sifat, ketahanan dan kualiti bahan yang digunakan.
Puting bayi yang berasaskan lateks ini bermula daripada getah asli yang ditoreh daripada pokok getah sebelum ianya diproses di kilang.
Lateks tersebut pula perlu melalui proses pemvulkanan bagi menjadikannya lebih kuat, elastik dan tahan untuk digunakan setiap hari.
Sebelum ni, proses pemvulkanan menggunakan sulfur dan beberapa bahan kimia lain untuk nak menghasilkan sifat getah yang dikehendaki.
Tapi kini, teknologi pemvulkanan menggunakan sinaran gama diperkenalkan sebagai alternatif lebih moden dalam industri getah.
Berbeza dengan kaedah konvensional, teknologi ini tidak lagi memerlukan penggunaan sulfur, zink oksida serta beberapa bahan kimia lain. Ini membantu mengurangkan kebergantungan kepada bahan kimia tertentu dalam proses pemvulkanan.

Selain itu, teknologi ini juga bebas nitrosamin, bahan yang dikaitkan dengan pembentukan bahan karsinogenik dan sekaligus menghasilkan produk yang lebih selamat untuk pelbagai kegunaan termasuk produk perubatan.
Keseluruhan proses dijalankan pada suhu bilik tanpa perlukan pemanasan yang tinggi. Ini bukan saja bantu jimatkan penggunaan tenaga, tapi menjadikan proses pengeluaran lebih cekap.
Lateks yang dihasilkan akan jadi lebih lembut, elastik dan selesa digunakan. Selain dapat meningkatkan kualiti produk, teknologi ini juga lebih mesra alam kerana berjaya menghasilkan kurang sisa bahan kimia apabila produk berasaskan lateks dilupuskan.
Teknologi ini bukan hanya memberi manfaat kepada produk untuk si kecil, ia turut digunakan dalam penghasilan sarung tangan perubatan, belon, tilam lateks dan pelbagai peralatan perubatan.

Ini bermakna inovasi dalam pemprosesan lateks bukan saja beri manfaat kepada satu produk, tapi pelbagai lagi produk yang digunakan setiap hari. Seperti contoh, sarung tangan perubatan menjadi lebih lembut dan selesa dipakai dalam tempoh yang lama.
Secara tak langsung, teknologi ini turut membantu meningkatkan kualiti pelbagai produk berasaskan lateks serta menyokong industri getah negara.
Di Malaysia, teknologi pemvulkanan menggunakan sinaran gama ini telah dibangunkan oleh Agensi Nuklear Malaysia sejak tahun 1980-an dan terus dimajukan hingga ke hari ini.
Teknologi ini bantu industri menghasilkan produk getah bernilai tambah serta meningkatkan daya saing Malaysia di pasaran global.
Pada masa sama, ia menyokong agenda teknologi hijau melalui pengurangan penggunaan bahan kimia dan tenaga dalam proses pengeluaran.
Selain memberi manfaat kepada industri, teknologi ini turut membuka lebih banyak peluang penyelidikan, inovasi dan pengkomersialan teknologi tempatan.
Ramai pengguna memilih produk berdasarkan jenama dan harga, tapi proses di sebalik penghasilannya juga memainkan peranan penting dalam menentukan kualiti sesuatu produk.
Pemvulkanan menggunakan sinaran gama membuktikan bagaimana teknologi nuklear bukan sahaja membantu menghasilkan produk lateks yang lebih berkualiti, malah mengukuhkan industri getah Malaysia serta menyokong pembangunan yang lebih mampan.
Untuk maklumat lanjut berkaitan Agensi Nuklear Malaysia, boleh layari portal rasmi di www.nuclearmalaysia.gov.my atau imbas kod qr bagi katalog perkhidmatan Agensi Nuklear Malaysia.
