Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Ramai orang suka bela ikan, sama ada sebagai haiwan peliharaan ataupun dijadikan baka untuk dijual. Namun bukan semua orang mampu betul-betul faham ‘pantang-larang’ membela ikan.
Pernah dengar tak keadaan ikan stress? Ya, bukan manusia saja yang boleh stress, tapi haiwan pun sama. Kalau bercakap soal ikan stress, ada banyak faktor kenapa ikan boleh alami tekanan yang kita sendiri tidak perasan pun.
Apabila ikan stress, antara kesan jangka pendeknya yang dikenal pasti adalah peningkatan degupan jantung, tekanan darah dan pernafasan. Stress yang kronik boleh mempengaruhi pertumbuhan, penceranaan dan pembiakan ikan, malah ia juga menghalang tindak balas imun ikan serta daya tahannya melawan jangkitan penyakit.
Antara punca-punca ikan stress yang dikenal pasti adalah seperti berikut:-
Tinggi kadar ammonia
Tahap nitrat meningkat
Nilai pH air yang tidak sesuai
Suhu tangki/akuarium yang turun naik
Kadar kemasinan air tak seimbang
Kadar oksigen rendah
Kurang tempat tersorok dalam tangki/akuarium
Ancaman ganas ikan berbeza spesies
Saiz tangki/akuarium kecil
Penggunaan ubat berlebihan
Nutrisi pemakanan tidak sihat
Perubahan kimia dalam air secara tiba-tiba
Penggunaan rawatan air yang tidak betul
Perasan tak, sesetengah penternak ikan suka menggunakan akuarium yang terang diterangi lampu LED, tapi dalam masa sama sangat kurang tempat tersorok untuk ruang privasi.
Macam manusia juga, ikan perlukan ruang tersorok untuk ia tidur, berehat dan mengawan. Jika tiada langsung tempat tersorok dan terdedah semata-mata, tidak mustahil ikan akan stress.
Ikan yang bersifat malu akan gemar bersendirian di tempat tersorok, manakala ikan bersifat aktif pula perlukan ruang yang luas untuk berenang bebas. Perlu diingatkan, stress yang ikan alami boleh dianggap sama dengan manusia juga. Macam mana kita stress duduk dalam penjara, sempit, tak boleh bergerak bebas, macam itulah ikan.
Difahamkan, haiwan tidak akan menunjukkan keadaan dirinya yang lemah dan stress kerana dipercayai dapat ‘dihidu’ pihak musuh, sekaligus telah menonjolkan kelemahannya sendiri. Begitu juga dengan ikan. Atas sebab itulah, agak susah untuk nak pastikan ikan itu berada dalam keadaan ‘bahagia’ ataupun stress.
Sebagai ‘tuan’, kita kenalah rajin memeriksa keadaan ikan dari semasa ke semasa. Berikut di bawah adalah beberapa gejala dipercayai ketika ikan itu sedang stress:-
Berenang laju
Bersikap lesu
Kurang selera makan
Warna badan berubah
Prestasi kesihatan menurun
Insang bergerak pantas
Kerap menyorok/bersendirian
Kerap buka mulut di permukaan air (tanda kurang oksigen)
Selain itu, ikan juga akan tunjukkan stressnya dengan gejala yang pelik. Antaranya adalah ia akan berenang dengan gaya renangan yang laju dan tidak normal, berenang secara panik tanpa arah tujuan, menghempaskan badannya ke dasar tangki/akuarium, menggesel badannya di permukaan batu dan ‘mengunci’ siripnya seakan tidak boleh berfungsi.
Kena faham, membela ikan ini macam memiliki kereta. Kena rajin selenggara akuarium, periksa penyakitnya, kadar suhu air dana macam-macam lagi. Suhu tangki/akuarium misalnya, sepatutnya kena bersesuaian dengan jenis ikan yang dibela.
Selain itu, diet pemakanan pun kena dijaga. Tidak boleh semata-mata memberinya palet saja. Sebaiknya buat kajian dulu makanan apa yang sesuai dengan diet/jenisnya.
Kesimpulannya, segeralah periksa semula ikan-ikan kita. Mungkin ada waktunya kita terlepas pandang. Ikan tiada suara untuk ‘berkata’ bahawa ia sedang stress. Maka kitalah yang kena rajin jenguk ke tangki atau akuarium.
Paling penting yang ramai tak perasan, bubuhlah batu, kayu, atau pokok dalam kadar banyak dalam tangki/akuarium agar ikan-ikan ini ada ‘bilik’ privasi mereka sendiri. Jangan biar terdedah. Segan beb nak mengawan bawah lampu LED.
Sumber: Rate My Fish Tank / Hartz