Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Jenayah Rentas Sempadan: Kerjasama Penguatkuasaan Perlu Lebih Pantas Daripada Sindiket – Saifuddin

JENAYAH
Kredit: Facebook Saifuddin Nasution Ismail

Kerjasama antara kerajaan dan agensi penguatkuasaan perlu bergerak lebih pantas serta lebih kukuh berbanding rangkaian jenayah rentas sempadan bagi memastikan ancaman keselamatan dapat ditangani dengan berkesan.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, penjenayah kini bergerak merentasi pelbagai bidang kuasa dengan memanfaatkan rangkaian antarabangsa, sekali gus menuntut negara memperkukuh perkongsian maklumat, penyelarasan operasi dan tindakan bersama.

Katanya, perkara itu antara mesej yang dibawanya ketika menyampaikan ucapan pada 2026 Conference of the Global Public Security Cooperation Forum (Lianyungang) di China hari ini.

“Hari ini saya menyampaikan ucapan pada 2026 Conference of the Global Public Security Cooperation Forum (Lianyungang) di China, dengan membawa satu mesej yang jelas - dalam dunia yang semakin saling terhubung, tiada negara mampu menangani ancaman keselamatan hari ini secara bersendirian.

“Saya berkongsi satu contoh nyata yang berlaku hanya beberapa minggu lepas - penahanan seorang juruterbang bersama Malaysia di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta kerana disyaki menyeludup pelbagai jenis dadah yang dianggarkan bernilai RM45 juta,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Menurut Saifuddin Nasution, maklumat berhubung kes itu dikongsi Polis Nasional Indonesia (POLRI) dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM), sebelum hasil kerjasama dan tindakan susulan membawa kepada penahanan enam anggota sindiket di Malaysia.

Jelasnya, empat daripada mereka sebelum itu melarikan diri ke Thailand dan Vietnam.

“Inilah realiti jenayah hari ini. Sindiket tersebut bergerak merentasi sekurang-kurangnya empat negara - Indonesia, Malaysia, Thailand dan Vietnam,” katanya.

Beliau berkata, ancaman keselamatan kini semakin kompleks dan merangkumi keganasan, pemerdagangan orang, penyeludupan migran, dadah, jenayah siber, penipuan dalam talian serta pengubahan wang haram.

Ujarnya, kegiatan berkenaan turut bergerak melalui rangkaian rentas sempadan, sistem kewangan dan infrastruktur digital yang sama.

Tambah beliau, teknologi seperti kecerdasan buatan (AI), komunikasi terenkripsi dan mata wang kripto turut dieksploitasi penjenayah bagi menyembunyikan identiti serta memindahkan wang haram merentasi pelbagai bidang kuasa.

“Jenayah sudah tidak mengenal sempadan. Respons kita juga tidak boleh terhenti di sempadan negara,” katanya.

Sehubungan itu, Saifuddin Nasution berkata Malaysia terus memperkukuh kerjasama dengan China menerusi Perjanjian Kerjasama dalam Mencegah dan Membanteras Jenayah Rentas Negara yang dimeterai pada Jun 2024.

Katanya, perjanjian itu menyediakan asas kukuh bagi tindakan bersama termasuk perkongsian maklumat, penyelarasan operasi dan siasatan.

Keperluan tersebut semakin mendesak apabila Malaysia menyiasat sebanyak 141,107 kes penipuan dalam talian antara 2024 hingga Mei 2026, katanya.

Dalam penguatkuasaan narkotik pula, beliau berkata kerjasama serta perkongsian maklumat dengan China membantu dua operasi pada Ogos 2025 yang membawa kepada rampasan lebih satu tan Fentanyl Citrate di Malaysia.

Saifuddin Nasution berkata kerjasama dua hala berkenaan juga perlu diterjemahkan kepada pengukuhan keselamatan serantau, termasuk menerusi beberapa inisiatif yang dipacu Malaysia ketika negara menjadi Pengerusi ASEAN pada 2025.

“Kementerian Dalam Negeri telah memimpin enam siri mesyuarat utama ASEAN melibatkan kira-kira 600 delegasi.

“Antara hasil pentingnya ialah ASEAN Plan of Action in Combating Transnational Crime 2026–2035, Melaka Declaration on Combatting Transnational Crime, ASEAN Declaration on Countering People Smuggling, ASEAN Declaration on Combatting Cybercrime and Online Scams serta ASEAN Border Management Cooperation Roadmap,” katanya.

Beliau berkata Malaysia akan terus memainkan peranan sebagai rakan keselamatan yang konstruktif, boleh dipercayai dan berorientasikan hasil bersama China, negara-negara ASEAN, rakan di seluruh Asia serta masyarakat antarabangsa.

Mengenai teknologi pula, Saifuddin Nasution berkata kemajuan dalam bidang itu perlu dimanfaatkan bagi memperkukuh institusi keselamatan yang profesional, bertanggungjawab dan dipercayai rakyat, bukannya sekadar mengejar kecanggihan.

“Kerana akhirnya, apabila negara dan agensi penguatkuasaan berkongsi maklumat, membina kepercayaan dan bertindak bersama, ruang untuk sindiket jenayah bergerak menjadi semakin sempit,” katanya.