Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Jerebu Jejaskan Negara Jiran, Cakra Khan Desak Kerajaan Indonesia Pandang Serius Isu Pencemaran

CAKRA
Kredit: GLAM

Isu jerebu yang semakin membimbangkan mendorong penyanyi Indonesia, Cakra Khan, meluahkan kebimbangan terhadap pencemaran alam sekitar, selain menggesa pihak bertanggungjawab mengambil tindakan segera bagi menangani masalah berkenaan.

Menerusi hantaran di Threads, penyanyi yang nama sebenarnya Cakra Konta Paryaman, 34, itu menyuarakan rasa kesal terhadap sikap segelintir pihak yang didakwa mengutamakan kepentingan sendiri sehingga sanggup memusnahkan alam sekitar tanpa memikirkan kesannya terhadap kehidupan masyarakat.

Menurutnya, golongan berpendapatan rendah berdepan risiko lebih besar akibat kemusnahan alam sekitar kerana tidak mempunyai kemampuan seperti golongan kaya untuk melindungi diri daripada kesan pencemaran.

“Ketika ekosistem alam sudah terlalu hancur, yang akan paling merasakan adalah kita masyarakat biasa.

“Bagi golongan kaya yang tamak dan pemimpin yang korup, mereka mampu mencari jalan melepaskan diri daripada kemusnahan alam sekitar. Kita tidak,” katanya.

Pelantun lagu Mencari Cinta Sejati itu turut menyeru orang ramai supaya tidak berdiam diri, sebaliknya bersama-sama menyuarakan kebimbangan dan mengambil tindakan bagi melindungi alam sekitar.

Katanya, pencemaran bukan sahaja mengancam kesihatan manusia, malah boleh menjejaskan kelangsungan hidup hidupan liar yang bergantung kepada ekosistem hutan.

“Bangkitlah, bersuara dan selamatkan bumi, hidupan liar serta kehidupan kita sendiri sebelum semuanya terlambat,” katanya.

Dalam hantaran sama, Cakra turut menggesa kerajaan Indonesia supaya memandang serius isu pencemaran berkenaan susulan kesan jerebu yang dilaporkan turut dirasai negara jiran, termasuk Malaysia.

“Kerajaan, lihatlah ini semua, rakyatmu ini. Asapnya sudah sampai mengganggu saudara-saudara kita di negara jiran.

“Kasihan mereka yang terkena kesan semua ini, kekal selamat buat semua yang terkena musibah, yang dibuat oleh orang bodoh dan tidak bertanggungjawab,” tambahnya.

Sumber:Threads
Intipati
  • Cakra Khan meluahkan kebimbangan terhadap jerebu dan pencemaran menerusi hantaran di Threads.
  • Beliau mendakwa segelintir pihak mengutamakan kepentingan sendiri hingga memusnahkan alam sekitar.
  • Cakra menggesa kerajaan Indonesia memandang serius jerebu yang dilaporkan menjejaskan negara jiran.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan