Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Jerebu: Kesihatan, Pendidikan & Kesejahteraan Mental Murid Jadi Perhatian Raja Permaisuri Agong

Raja Permaisuri Agong
Kredit: Fadhlina Sidek Official

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah menzahirkan keprihatinan mendalam terhadap kesihatan dan pendidikan anak-anak susulan situasi jerebu yang melanda negara.

Perkara itu dimaklumkan oleh Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek menerusi perkongsian di Facebook selepas menghadap Baginda pada petang semalam.

Menurut Fadhlina, Baginda menekankan kepentingan mengutamakan kesihatan anak-anak di samping memastikan kelangsungan pendidikan mereka terus terjamin.

Perhatian turut diberikan kepada anak-anak daripada keluarga B40 yang mungkin berdepan kesukaran akibat penutupan sekolah susulan situasi jerebu.

Baginda turut menzahirkan kebimbangan terhadap kesan penutupan sekolah yang berpanjangan kepada kesejahteraan emosi dan kesihatan mental anak-anak.

Fadhlina zahir penghargaan atas pandangan dan nasihat

Dalam perkongsian sama, Fadhlina turut menzahirkan penghargaan atas pandangan dan nasihat Raja Permaisuri Agong berhubung perkara tersebut.

“Patik menjunjung kasih atas segala pandangan dan titah nasihat Seri Paduka Baginda. Keprihatinan Baginda menjadi pedoman dalam ikhtiar memastikan setiap keputusan berkaitan pengoperasian sekolah mengambil kira kesihatan dan masa depan pendidikan anak-anak secara menyeluruh,” katanya.

Pertemuan itu turut menjadi kenangan bermakna buat Fadhlina apabila Raja Permaisuri Agong berkenan menitipkan ucapan selamat hari lahir kepadanya.

“Menjunjung kasih Tuanku atas ingatan yang amat patik hargai. Daulat Tuanku,” katanya.

Sumber:Facebook
Intipati
  • Raja Permaisuri Agong menerima Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek menghadap petang semalam.
  • Baginda menzahirkan keprihatinan terhadap kesihatan murid dan kesan penutupan sekolah akibat jerebu.
  • Fadhlina berkata titah nasihat Baginda menjadi pedoman dalam keputusan pengoperasian sekolah.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan