Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Jerman Berdepan Krisis Identiti Bola Sepak
Kegagalan Jerman mara lebih jauh dalam saingan Piala Dunia sekali lagi mencetuskan persoalan besar mengenai hala tuju bola sepak negara itu, selepas tewas mengejut kepada Paraguay menerusi penentuan sepakan penalti pada pusingan 32 terbaik.
Kekalahan tersebut bukan sahaja menyaksikan Jerman tersingkir lebih awal buat kali ketiga berturut-turut di pentas Piala Dunia.
Malah, ia juga merupakan kekalahan pertama negara itu dalam penentuan penalti sepanjang sejarah penyertaan mereka di kejohanan berprestij itu.
Lebih memeritkan, Paraguay yang berada di ranking ke-41 dunia sebelum ini dibelasah 1-4 oleh tuan rumah Amerika Syarikat pada aksi pembukaan. Namun, tetap berjaya menyingkirkan juara dunia empat kali itu.

Sejak menewaskan Argentina 1-0 untuk menjulang Piala Dunia 2014, prestasi Jerman terus merudum.
Mereka bukan sahaja gagal memenangi sebarang perlawanan kalah mati di Piala Dunia selepas kejayaan itu. Malah, turut gagal mencatatkan satu pun rekod tanpa bolos dalam tempoh berkenaan.
Kegagalan terbaru itu menyaksikan tekanan terhadap ketua jurulatih, Julian Nagelsmann, semakin memuncak dengan ramai penyokong serta pemerhati bola sepak mendesak agar perubahan segera dilakukan.
Nama bekas pengendali Liverpool, Jurgen Klopp, turut dikaitkan sebagai calon yang berpotensi mengambil alih skuad kebangsaan Jerman.
Media tempatan tidak berselindung dalam mengkritik prestasi skuad kebangsaan mereka.
Akhbar Sueddeutsche Zeitung menyifatkan kekalahan itu sebagai 'satu lagi penghinaan' sambil menyatakan Jerman pulang dengan kekalahan yang sememangnya layak diterima.
Sementara itu, majalah bola sepak terkenal Kicker pula menyifatkan keputusan tersebut sebagai bukti jelas bahawa Jerman semakin jauh daripada kelompok kuasa besar bola sepak dunia.
Satu ketika dahulu, Jerman terkenal sebagai negara yang sentiasa melahirkan pemain bertaraf dunia melalui sistem pembangunan yang dikagumi seluruh Eropah.
Namun sejak sedekad lalu, mereka dilihat semakin ketinggalan berbanding Perancis, Sepanyol dan England dari segi penghasilan bakat baharu.
Walaupun merupakan antara negara paling ramai penduduk di Eropah dan bola sepak kekal sebagai sukan nombor satu, Jerman kini berdepan masalah kekurangan pemain berkualiti pada setiap posisi.
Kecederaan beberapa tonggak seperti Lennart Karl, Serge Gnabry dan Nico Schlotterbeck turut menjejaskan kekuatan pasukan.
Sebaliknya, negara seperti Perancis, England dan Sepanyol masih memiliki ramai pemain berkualiti sehingga ada yang tidak disenaraikan ke kejohanan.
Harapan besar diletakkan kepada pemain seperti Kai Havertz, Florian Wirtz dan Jamal Musiala untuk mengemudi cabaran Jerman.
Bagaimanapun, ketiga-tiga pemain itu gagal mempamerkan prestasi terbaik mereka sepanjang kejohanan meskipun sesekali memperlihatkan kilauan kemampuan sebenar.
Ketiadaan kelompok pemain bertaraf dunia yang lebih besar menyebabkan tekanan terhadap pemain-pemain utama semakin meningkat.
Nagelsmann yang mengambil alih tugas sebagai ketua jurulatih dengan reputasi tinggi kini menjadi sasaran utama kritikan.
Pencapaian terbaiknya setakat ini hanyalah membawa Jerman ke pusingan 16 terbaik Euro 2024 sebelum tewas kepada Sepanyol.
Legenda bola sepak Jerman, Lothar Matthaus, turut menggesa perubahan dilakukan dengan menyatakan pasukan itu memerlukan jurulatih baharu untuk mengembalikan kegemilangan mereka.
Namun Nagelsmann tetap bertegas bahawa beliau tidak akan berundur.
Menurutnya, perubahan besar sememangnya perlu dilakukan, namun beliau bersedia meneruskan tugas sekiranya masih mendapat kepercayaan daripada Persatuan Bola Sepak Jerman (DFB).
Jurgen Klopp pula menolak tanggapan bahawa pertukaran jurulatih sahaja mampu menyelesaikan kemelut yang dihadapi Jerman.
Beliau menegaskan masalah sebenar bermula jauh lebih awal, terutama dalam pembangunan pemain muda di peringkat akar umbi.
Klopp turut memuji semangat juang Paraguay yang meraikan kemenangan dengan penuh emosi kerana menghargai setiap pencapaian di pentas Piala Dunia.
Menurutnya, Jerman terlalu bergantung kepada kegemilangan silam.
"Kita bukan lagi Jerman yang dahulu. Kita pernah menjadi Jerman. Jika kita mahu kembali menjadi kuasa bola sepak Jerman, kita benar-benar perlu melakukan perubahan yang menyeluruh," katanya.
Tambah Klopp, isu sebenar bukan terletak pada siapa yang menjadi jurulatih. Sebaliknya, sistem pembangunan dan hala tuju bola sepak negara itu perlu dinilai semula secara menyeluruh bagi mengembalikan Jerman ke kelompok elit dunia.