Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) sedang menjalankan siasatan berhubung pembabitan individu beragama Islam dalam aktiviti tanggungjawab sosial korporat (CSR) membabitkan kerja pembersihan di sebuah kuil di Jalan Dato’ Keramat, George Town.
Dalam satu kenyataan hari ini, JHEAIPP berkata pihaknya memandang serius isu yang tular di media sosial pada 8 Oktober lalu itu, membabitkan seramai 20 kakitangan hotel.
Menurut kenyataan itu, Bahagian Penguatkuasaan JHEAIPP bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengadakan perbincangan dan sesi libat urus dengan pihak pengurusan hotel pada 14 Oktober lalu bagi mendapatkan penjelasan mengenai pelaksanaan program berkenaan.
Perbincangan itu turut merangkumi bentuk pembabitan pekerja Islam, arahan kerja serta aspek sensitiviti agama.
“Pihak hotel memberikan kerjasama yang baik sepanjang sesi berkenaan,” katanya.
Sebagai tindakan susulan, JHEAIPP akan memberikan bimbingan dan penerangan khusus kepada pekerja Islam yang terbabit mengenai pemeliharaan akidah, batas pembabitan di rumah ibadat bukan Islam serta pematuhan hukum syarak.
JHEAIPP turut merancang mengadakan program advokasi kepada pihak pengurusan dan pekerja hotel pada 20 Oktober ini bagi meningkatkan kefahaman serta mencegah kejadian seumpama itu daripada berulang.
Dalam pada itu, JHEAIPP berkata berdasarkan pandangan hukum Mufti Pulau Pinang pada 12 Oktober lalu, pembabitan orang Islam dalam aktiviti pembersihan yang secara langsung melibatkan penyelenggaraan ruang pemujaan dan kemudahan khusus bagi ibadat agama lain adalah haram.
Larangan itu termasuk kerja membersihkan patung sembahan, altar dan peralatan ritual.
Menurut JHEAIPP, pandangan berkenaan selaras dengan firman Allah SWT dalam Surah al-Ma’idah, ayat 2 yang bermaksud:
“Dan hendaklah kamu saling membantu dalam kebajikan dan ketakwaan, dan janganlah kamu saling membantu dalam dosa dan pencerobohan.”
JHEAIPP menegaskan pihaknya menyokong pelaksanaan aktiviti CSR yang memberi manfaat kepada masyarakat, namun penganjur perlu memastikan program berkenaan menghormati sensitiviti agama dan mematuhi batasan hukum syarak.
“Sebarang keraguan juga wajar dirujuk kepada pihak berautoriti agama. JHEAIPP akan meneruskan pendekatan pendidikan, advokasi, pemantauan dan tindakan mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
“Orang ramai turut dinasihatkan supaya tidak membuat spekulasi atau menjatuhkan hukum terhadap individu tanpa penelitian pihak berautoriti, demi memelihara kesucian agama Islam dan keharmonian masyarakat berbilang agama,” katanya.

