Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Seramai 89 warga asing ditahan dalam beberapa operasi penguatkuasaan bersepadu yang dilaksanakan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah bersama agensi penguat kuasa di Kota Kinabalu, Lahad Datu dan Sandakan.
Menurut JIM Sabah, operasi itu dijalankan bagi membanteras kehadiran pendatang asing tanpa izin (PATI) selain memastikan pematuhan terhadap undang-undang imigresen negara.
Di Kota Kinabalu, operasi bersama Unit Perlesenan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) telah memeriksa seramai 234 individu.
Hasil pemeriksaan mendapati 15 warga asing ditahan kerana disyaki melakukan pelbagai kesalahan imigresen termasuk tidak memiliki dokumen perjalanan sah serta melanggar syarat pas.
Mereka yang ditahan melibatkan 14 warga Filipina terdiri daripada tujuh lelaki dan tujuh wanita dewasa, selain seorang wanita warga Indonesia.
Sementara itu di Lahad Datu, operasi bersepadu bersama Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) memeriksa seramai 141 individu.
Daripada jumlah itu, seramai 62 warga asing ditahan melibatkan 54 warga Filipina terdiri daripada 33 lelaki dewasa, 14 wanita dewasa, empat kanak-kanak lelaki dan tiga kanak-kanak perempuan.
Turut ditahan ialah lapan warga Indonesia membabitkan lima lelaki dan tiga wanita dewasa.
Di Sandakan pula, operasi bersama Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia (JPJ) Daerah Sandakan memeriksa 66 individu sebelum menahan 12 warga asing.
Tangkapan di daerah itu melibatkan 10 warga Filipina iaitu tiga lelaki dan tujuh wanita dewasa, manakala dua lagi warga Indonesia terdiri daripada seorang lelaki dan seorang wanita dewasa.
Kesemua yang ditahan disyaki melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan telah dibawa ke depot tahanan imigresen untuk tindakan lanjut.
JIM Sabah berkata operasi penguatkuasaan akan terus dipergiatkan dari semasa ke semasa bagi membanteras kehadiran PATI serta memastikan kedaulatan dan keselamatan negara terus terpelihara.
Menurut jabatan itu, tindakan tegas akan terus diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati melanggar peruntukan undang-undang imigresen negara.