Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

JKM Perjelas Bantuan RM1,000 Adalah Untuk Enam Anak Warganegara, Bukan Suami Warga Asing

JKM
Kredit: Bernama

JKM Perjelas Bantuan RM1,000 Adalah Untuk Enam Anak Warganegara, Bukan Suami Warga Asing

Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) tampil memperjelaskan isu tular berhubung Bantuan Kanak-Kanak (BKK) berjumlah RM1,000 sebulan dengan menegaskan bantuan itu disalurkan kepada enam orang anak yang merupakan warganegara Malaysia, bukannya kepada suami wanita terbabit yang berstatus warga asing.

Dalam satu kenyataan hari ini, JKM berkata wanita berkenaan ialah warganegara Malaysia, manakala kesemua enam anaknya memiliki dokumen pengenalan diri yang sah serta berstatus warganegara Malaysia.

Menurut JKM, BKK diwujudkan bagi memastikan kanak-kanak yang memerlukan dapat terus dibesarkan bersama keluarga atau penjaga dalam persekitaran yang selamat, selain menjamin kelangsungan hidup mereka.

“Dalam kes ini, penerima manfaat BKK adalah anak-anak yang layak, bukannya suami kepada wanita berkenaan yang merupakan bukan warganegara.

“Bantuan tersebut dipertimbangkan berdasarkan kelayakan kanak-kanak, keadaan sosioekonomi keluarga yang memenuhi syarat kelayakan termasuk pendapatan isi rumah yang berada di bawah paras yang ditetapkan serta keperluan untuk memastikan kebajikan dan kepentingan terbaik anak-anak terus terpelihara,” katanya.

JKM berkata, kadar BKK yang diberikan adalah antara minimum RM200 hingga maksimum RM1,000 sebulan bergantung kepada bilangan serta umur anak yang layak, selain tertakluk kepada syarat dan pertimbangan yang telah ditetapkan.

Menurutnya, bantuan RM1,000 yang diluluskan dalam kes berkenaan adalah bagi keseluruhan enam orang anak yang layak dan bukannya RM1,000 untuk setiap seorang anak atau diberikan kepada ibu mereka.

Dalam pada itu, JKM menjelaskan setiap permohonan bantuan kebajikan akan dinilai secara telus dan profesional berdasarkan hasil siasatan kes, dokumen sokongan, syarat kelayakan serta keadaan sosioekonomi semasa pemohon.

“Semua bantuan kebajikan yang disalurkan adalah tertakluk kepada dasar, peraturan dan garis panduan yang berkuat kuasa serta tidak dipengaruhi oleh sentimen atau persepsi awam,” menurut kenyataan itu.

Sehubungan itu, JKM menasihatkan orang ramai supaya mendapatkan maklumat daripada sumber yang sahih serta tidak membuat kesimpulan atau menyebarkan maklumat yang tidak lengkap sehingga boleh menimbulkan salah faham terhadap pelaksanaan bantuan kebajikan kerajaan.