Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Pelajar UiTM Menang Perodua Myvi Baharu Menerusi Cabutan Bertuah P-Circle KLIMS 2026

KLIMS
Nik Akmal Afifah Nik Mohd Fuad bersama keluarganya semasa majlis penyerahan di Ibu Pejabat Perodua Rawang, Selangor.

Pelajar UiTM Menang Perodua Myvi Baharu Menerusi Cabutan Bertuah P-Circle KLIMS 2026

Tuah nyata memihak kepada seorang pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM) apabila membawa pulang sebuah Perodua Myvi baharu selepas dipilih sebagai pemenang hadiah utama Cabutan Bertuah P-Circle yang dianjurkan sempena Kuala Lumpur International Mobility Show (KLIMS) 2026.

Pemenang bertuah, Nik Akmal Afifah Nik Mohd Fuad, 22, menerima sebuah Perodua Myvi 1.3 G berwarna Ivory White selepas namanya dipilih dalam cabutan bertuah yang berlangsung sepanjang KLIMS 2026.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad berkata, sambutan orang ramai terhadap penyertaan Perodua pada KLIMS 2026 amat menggalakkan, termasuk penyertaan dalam Cabutan Bertuah P-Circle.

Katanya dalam satu kenyataan hari ini, seramai 37,786 pengunjung telah mendaftar dan mengunjungi reruai Perodua sepanjang pameran itu berlangsung.

Nik Akmal Afifah Nik Mohd Fuad menerima replika kunci daripada Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad di Ibu Pejabat Perodua Rawang, Selangor.

“Secara keseluruhannya, penyertaan kami di KLIMS 2026 mendapat maklum balas yang amat memberangsangkan dengan 37,786 pengunjung berdaftar di reruai kami dan mencuba pelbagai tarikan yang disediakan semasa pameran itu berlangsung.

“Pertandingan Cabutan Bertuah P-Circle ini juga menarik perhatian ramai generasi muda dan Nik Akmal Afifah adalah pemenang bertuah yang terpilih,” katanya.

Cabutan Bertuah P-Circle berlangsung dari 12 hingga 21 Jun lalu dengan penyertaan ribuan pengunjung yang memuat turun aplikasi super P-Circle serta mengaktifkan fungsi e-dompet P-Duit sepanjang KLIMS 2026.

P-Circle merupakan aplikasi super Perodua yang menawarkan pelbagai perkhidmatan termasuk e-dompet P-Duit, ciri kesihatan, ciri keselamatan, platform jual beli dalam talian serta perkhidmatan penstriman digital.

Aplikasi berkenaan kini boleh dimuat turun menerusi App Store dan Google Play Store.

Sementara itu, Nik Akmal Afifah meluahkan rasa syukur dan teruja apabila diumumkan sebagai pemenang hadiah utama.

“Sudah tentu kereta ini lebih baik daripada Perodua Axia yang saya pandu pada masa ini. Terima kasih Perodua. Anda memang terbaik!” ujarnya selepas menerima kenderaan tersebut di ibu pejabat Perodua, Jumaat lalu.

Selain hadiah utama berupa sebuah Perodua Myvi, Perodua turut menyampaikan 100 unit jam pintar P-Go kepada pemenang cabutan bertuah lain.

KLIMS 2026 turut menyaksikan Perodua memperkenalkan kereta konsep terbaharunya, Chapter 2 (C2) yang menampilkan pendekatan reka bentuk baharu, teknologi terkini serta hasil kreativiti barisan pereka muda syarikat itu dalam menggambarkan visi masa depan kenderaan elektrik (EV).