Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

JPA Perkenal Bayaran Pencen Melalui Touch 'n Go eWallet

pencen
Kredit: Facebook JPA

JPA Perkenal Bayaran Pencen Melalui Touch 'n Go eWallet

Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) memperkenalkan dua inisiatif baharu bagi memudahkan urusan lebih 835,000 pesara kerajaan, termasuk menjadikan Touch 'n Go eWallet sebagai saluran alternatif pembayaran pencen serta melancarkan platform MyPesara Plus.

JPA menerusi satu hantaran di Facebook hari ini berkata, seramai 835,146 pesara dan penerima pencen terbitan dijangka menikmati penyampaian perkhidmatan yang lebih mudah, selamat dan bernilai menerusi pelaksanaan kedua-dua inisiatif berkenaan.

Menurut JPA, kedua-dua inisiatif itu telah dilancarkan oleh Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz, sempena Majlis Perhimpunan Bulanan JPA yang berlangsung di Auditorium JPA, Putrajaya.

Katanya, pesara merupakan antara pemegang taruh utama jabatan itu yang telah banyak menyumbang kepada pembangunan negara, justeru kebajikan serta kesejahteraan mereka perlu terus dipelihara walaupun selepas menamatkan perkhidmatan.

"Melalui kerjasama strategik antara JPA, Kementerian Kewangan, Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) [KWAP] dan Touch 'n Go eWallet, pesara kini boleh menerima pembayaran pencen menerusi saluran yang lebih fleksibel, pantas dan selamat," katanya.

JPA memaklumkan sehingga Mei 2026, seramai 122 pesara telah menerima bayaran pencen melalui kaedah tersebut membabitkan jumlah pembayaran sebanyak RM254,841.21.

Dalam pada itu, JPA berkata, pihaknya turut melancarkan MyPesara Plus, iaitu platform pemerkasaan Program Manfaat Pesara yang dibangunkan bersama KWAP bagi memperluaskan manfaat kepada golongan pesara melalui kerjasama strategik dengan pelbagai rakan industri.

Katanya, kedua-dua inisiatif tersebut mencerminkan komitmen berterusan JPA dalam memperkukuh ekosistem kebajikan pesara menerusi penyampaian perkhidmatan yang lebih responsif, inklusif dan berteraskan teknologi.

Intipati
  • JPA memperkenalkan Touch 'n Go eWallet sebagai saluran alternatif pembayaran pencen kerajaan.
  • Sebanyak 835,146 pesara dan penerima pencen terbitan dijangka mendapat manfaat inisiatif itu.
  • MyPesara Plus turut dilancarkan bersama KWAP bagi memperluas manfaat melalui rakan industri.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan