Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

JPJ Kelantan Saran Bawa Lesen Memandu Fizikal Ketika Ke Thailand

JPJ Kelantan Saran Bawa Lesen
Pengarah JPJ Kelantan Mohd Misuari Abdullah. Kredit: Bernama

JPJ Kelantan Saran Bawa Lesen Memandu Fizikal Ketika Ke Thailand

KOTA BHARU, 15 Julai (Bernama) -- Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan menyarankan rakyat Malaysia yang merancang memandu ke Thailand supaya mendapatkan dan membawa bersama lesen memandu fizikal bagi mengelakkan sebarang masalah ketika pemeriksaan oleh pihak berkuasa negara berkenaan.

Pengarah JPJ Kelantan Mohd Misuari Abdullah berkata walaupun Malaysia kini melaksanakan penggunaan Lesen Memandu Digital menerusi aplikasi MyJPJ, orang ramai masih boleh mendapatkan lesen memandu fizikal dengan bayaran RM20 di mana-mana pejabat JPJ di seluruh negara.

"JPJ mengeluarkan lesen memandu fizikal dengan bayaran RM20. Di Malaysia, penggunaan aplikasi MyJPJ termasuk paparan lesen digital atau tangkap layar masih diterima oleh pihak berkuasa.

"Bagaimanapun, sebarang tindakan yang dikenakan terhadap pelancong Malaysia di Thailand adalah tertakluk kepada bidang kuasa pihak berkuasa negara berkenaan," katanya kepada pemberita selepas Majlis Kucha Sugho 2026 Bersama Rakan Strategik dan Komuniti di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas insiden tular membabitkan seorang rakyat Malaysia yang didakwa dikenakan saman 1,000 baht (kira-kira RM123) oleh pihak berkuasa Thailand kerana gagal mengemukakan lesen memandu fizikal ketika pemeriksaan.

Mohd Misuari berkata berdasarkan hubungan tidak rasmi dengan pihak berkuasa di selatan Thailand, khususnya di Narathiwat, kewujudan lesen memandu digital Malaysia sememangnya diketahui, namun maklumat mengenainya dipercayai belum disebarkan secara meluas atau belum mempunyai garis panduan bertulis untuk pelaksanaan di peringkat penguatkuasaan.

"Justeru, jika orang ramai ingin ke sana, sebaik-baiknya dapatkan lesen memandu fizikal sebelum memulakan perjalanan bagi mengelakkan sebarang kesulitan ketika pemeriksaan," katanya.

Beliau turut mengingatkan rakyat Malaysia supaya sentiasa mematuhi undang-undang negara yang dikunjungi serta memastikan semua dokumen perjalanan yang diperlukan disediakan bagi melancarkan urusan sepanjang berada di negara berkenaan.