Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) sedang melaksanakan proses peralihan daripada struktur MyKad sedia ada kepada MyKad Generasi Baharu, yang dijangka menyebabkan gangguan sementara terhadap urusan cetakan kad pengenalan di seluruh negara.
JPN berkata, gangguan berkenaan dijangka berlaku bermula 26 Ogos hingga 31 Ogos 2026 sepanjang proses peralihan sistem tersebut.
“JPN sedang melalui proses peralihan daripada MyKad struktur sedia ada kepada MyKad Generasi Baharu.
“Sehubungan itu, urusan cetakan MyKad di seluruh negara dijangka mengalami gangguan sementara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut JPN, orang ramai yang tidak mempunyai keperluan mendesak untuk membuat penukaran atau gantian MyKad dinasihatkan supaya menangguhkan sementara urusan berkenaan sepanjang tempoh tersebut.
Jelasnya, langkah itu bagi memastikan proses peralihan kepada MyKad Generasi Baharu dapat dilaksanakan dengan lancar.
Bagi permohonan MyKad kali pertama pula, JPN berkata ibu bapa atau penjaga kepada kanak-kanak berusia 12 tahun digalakkan untuk menunggu seketika.
Ujarnya, penangguhan itu membolehkan anak mereka menerima MyKad Generasi Baharu apabila pengeluarannya bermula dalam masa terdekat.
Dalam pada itu, JPN menghargai kesabaran serta kerjasama orang ramai sepanjang tempoh peralihan berkenaan.
“JPN menghargai kesabaran dan kerjasama orang ramai sepanjang tempoh peralihan ini serta memohon maaf atas sebarang kesulitan yang mungkin timbul,” katanya.

