Kalau tengok pada kadar pengangguran sahaja, keadaan pasaran kerja Malaysia nampaknya semakin baik dengan angka hanya 2.9 peratus.
Laporan Bank Dunia merekodkan kadar pengangguran Malaysia turun kepada 2.9 peratus pada suku keempat 2025, paling rendah sejak 2014.
Pada masa sama, kadar penyertaan tenaga buruh turut meningkat kepada 70.9 peratus, menunjukkan keadaan pasaran kerja masih kukuh ketika itu.
Namun, di sebalik angka pengangguran yang rendah itu, terdapat satu lagi perkara menarik melibatkan pekerja berpendidikan tinggi.
Ramai daripada mereka sebenarnya bekerja dalam pekerjaan yang tidak sepadan dengan tahap kemahiran atau kelayakan yang dimiliki.
Keadaan tersebut dikenali sebagai skill-related underemployment, iaitu apabila graduan bekerja dalam pekerjaan berkemahiran sederhana atau rendah.
Jadi, mempunyai pekerjaan tidak semestinya bermaksud seseorang itu bekerja dalam jawatan yang sepadan dengan kelayakannya.

Lebih Satu Pertiga Bekerja Bawah Tahap Kemahiran
Menurut laporan Bank Dunia, kadar skill-related underemployment dalam kalangan pekerja berpendidikan tinggi menunjukkan peningkatan sejak beberapa tahun lalu.
Berdasarkan data sehingga 2024, lebih satu pertiga pekerja berpendidikan tinggi bekerja dalam pekerjaan yang lebih rendah daripada tahap kemahiran mereka.
Golongan muda pula paling terkesan, apabila lebih 44 peratus pekerja berpendidikan tinggi berusia 25 hingga 29 tahun mengalami keadaan tersebut.
Menariknya, kadar skill-related underemployment itu semakin menurun apabila umur meningkat, menunjukkan masalah ini banyak berlaku pada peringkat awal kerjaya.
Bank Dunia mengaitkan keadaan tersebut dengan proses peralihan daripada pendidikan kepada pekerjaan serta ketidakpadanan antara kemahiran dan peluang pekerjaan.
Graduan Ada, Tetapi Kerja Berkemahiran Tinggi Tidak Cukup
Persoalannya, kalau kadar pengangguran rendah dan ramai graduan berjaya memasuki pasaran kerja, mengapa masih berlaku masalah ini?
Menurut Bank Dunia, salah satu sebabnya ialah pertumbuhan pekerjaan berkemahiran tinggi tidak bergerak sepantas peningkatan jumlah tenaga kerja berpendidikan tinggi.
Malah, antara 2018 hingga 2024, jumlah graduan yang memasuki pasaran kerja melebihi jumlah kekosongan pekerjaan berkemahiran tinggi.
Keadaan itu menunjukkan terdapat jurang antara jumlah graduan yang tersedia dengan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi dalam pasaran.
Pada masa sama, Bank Dunia turut mendapati terdapat kekurangan kemahiran tertentu, termasuk kemahiran bernilai tinggi yang diperlukan oleh sesetengah majikan.
Ini bermakna masalah yang berlaku bukan semata-mata kerana graduan tidak mempunyai kemahiran, tetapi turut melibatkan ketidakpadanan antara kemahiran dan pekerjaan.
Bila Kerja Ada, Tetapi Gaji Tidak Seberapa
Lebih membimbangkan, bekerja dalam pekerjaan yang lebih rendah daripada tahap kemahiran turut memberikan kesan terhadap pendapatan.
Bank Dunia mendapati pekerja berpendidikan tinggi yang bekerja di bawah tahap kemahiran mengalami penalti gaji sebanyak 49.3 peratus.
Sebagai perbandingan, median gaji bulanan pekerja berpendidikan tinggi pada 2024 ialah RM4,131 bagi mereka yang bekerja pada tahap kemahiran sepadan.
Bagi mereka yang bekerja di bawah tahap kemahiran pula, anggaran gaji bulanan adalah sekitar RM2,096 berdasarkan pengiraan Bank Dunia.
Perbezaan itu menunjukkan mengapa isu pekerjaan berkualiti tidak boleh dilihat hanya melalui angka pengangguran.
Seseorang mungkin sudah mempunyai pekerjaan, tetapi kemahiran yang dimiliki masih belum digunakan atau dihargai pada tahap sepatutnya.
Jadi, Apa Cerita Sebenarnya?
Angka pengangguran 2.9 peratus sememangnya menunjukkan pasaran kerja Malaysia berada dalam keadaan yang kukuh pada penghujung 2025.
Namun, angka tersebut tidak semestinya menggambarkan sama ada rakyat Malaysia mendapat pekerjaan yang benar-benar sepadan dengan kelayakan mereka.
Bagi Bank Dunia, cabaran Malaysia kini bukan sekadar memastikan rakyat mempunyai pekerjaan, tetapi menyediakan lebih banyak pekerjaan berkualiti.
Pekerjaan tersebut perlu mempunyai produktiviti dan nilai tambah lebih tinggi supaya pekerja dapat menggunakan kemahiran mereka dengan lebih baik.
Sebab itu, kisah pasaran kerja Malaysia sebenarnya bukan sekadar tentang berapa ramai yang menganggur atau sudah bekerja.
Ia juga tentang berapa ramai yang akhirnya mendapat pekerjaan yang benar-benar sepadan dengan apa yang mereka pelajari dan mampu lakukan.

