Kadar tambang bagi perkhidmatan penumpang Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) masih belum dimuktamadkan.
Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) berkata pihaknya mengambil maklum mengenai grafik berkenaan yang kembali tular dan menjelaskan bahawa maklumat tersebut tidak tepat serta tidak pernah disahkan oleh mana-mana pihak berkuasa.
“Sebarang kadar tambang rasmi bagi perkhidmatan penumpang ECRL hanya akan diumumkan oleh Kementerian Pengangkutan selepas proses penilaian dan kelulusan berkaitan dimuktamadkan,” menurut MRL menerusi kenyataan di platform media sosialnya.
Sebelum ini, satu grafik bertajuk ‘Anggaran Tambang ECRL 2027 (unjuran)’ tular di media sosial dengan memaparkan anggaran tambang sehala bagi beberapa laluan ECRL.
Antaranya, grafik itu memaparkan anggaran tambang Kota Bharu-Kuala Terengganu antara RM25 hingga RM35, Kota Bharu-Kuantan (RM45 hingga RM60) dan Kota Bharu-Gombak (RM80 hingga RM110).
Turut disenaraikan ialah anggaran tambang Kuala Terengganu-Kuantan antara RM20 hingga RM30, Kuala Terengganu-Gombak (RM60 hingga RM85) serta Kuantan-Gombak (RM40 hingga RM60).
Bagaimanapun, grafik tersebut turut menyatakan bahawa angka berkenaan hanyalah unjuran untuk tujuan perancangan pelancongan dan bukan kadar rasmi ECRL.
Dalam pada itu, MRL berkata pihaknya menghargai keterujaan dan minat orang ramai terhadap perkhidmatan ECRL.
“Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang andaian atau kesimpulan berdasarkan maklumat yang tidak disahkan, sebaliknya merujuk kepada pengumuman melalui saluran rasmi Kementerian Pengangkutan, MRL dan ECRL,” menurutnya.


