Usahawan dan personaliti media sosial, Khairul Aming meluahkan rasa kecewa selepas ada segelintir warganet yang melabelnya sebagai kapitalis susulan projek terbaharunya.
Menerusi perkongsian di Threads, timbul beberapa komen yang kurang senang dengan usaha Khairul Aming memperkenalkan konsep ‘bandar livestream’, yang menghimpunkan beberapa usahawan untuk menjual produk mereka secara langsung menerusi sebuah platform media sosial.
Khairul Aming Luah Rasa Kecewa
Tidak berdiam diri, Khairul Aming kemudian tampil memberi penjelasan mengenai perkara tersebut sambil mengakui agak terkilan dengan sentimen yang dilemparkan terhadap usahawan tempatan.
“Sejujurnya sedihlah macam ini. Usahawan negara lain maju berniaga tapi bila kita yang tempatan nak buat jadi serba tak kena.
“Kita nak usahawan tempatan grow ke depan tapi dalam masa yang sama sentimen kapitalis yang diletakkan,” katanya.

Menurut usahawan berusia 34 tahun itu, setiap usaha yang dilakukan bukan hanya memberi manfaat kepada dirinya, sebaliknya turut melibatkan ramai pihak dalam ekosistem perniagaan.
Katanya, hasil daripada sesebuah perniagaan turut memberi manfaat kepada pekerja, pembekal, vendor, penghantar, pelanggan selain menyumbang melalui pembayaran cukai dan zakat.
“Hasil perniagaan ini untuk semua, pekerja, supplier, vendor, abang courier, pelanggan, cukai negara, pungutan zakat, semuanya dapat faedahnya.
“Segala ilmu yang dapat saya turunkan kepada semua untuk sama-sama belajar. Kalau dengan saya berniaga ini sakitkan hati anda, saya minta maaf,” katanya lagi.
