Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Kajian Klook: Individu Yang Rancang Percutian Kumpulan Rupanya Paling Kurang Dihargai

Setiap kumpulan rakan biasanya mempunyai seorang individu yang akan mengambil tanggungjawab mengatur segala perkara sebelum bercuti, daripada mencari penginapan, menyusun jadual perjalanan hingga memastikan semua orang berpuas hati.

Namun, kajian terbaharu Klook mendapati golongan perancang percutian ini merupakan individu yang paling kurang mendapat penghargaan dalam sesebuah kumpulan.

Kajian melibatkan 2,725 pengembara dari 10 pasaran itu mendapati lebih sembilan daripada 10 responden Malaysia (91.9%) berpendapat bahawa perancang percutian sepatutnya menerima lebih banyak penghargaan atas masa dan usaha yang dicurahkan untuk mengatur perjalanan berkumpulan.

Luangkan Berjam-jam Rancang Percutian

Menurut kajian tersebut, tugas merancang percutian bukanlah semudah yang disangka.

Walaupun ramai individu yang tidak terlibat dalam perancangan menganggap menyediakan perjalanan selama seminggu mengambil masa kurang daripada 10 jam, lebih tujuh daripada 10 perancang percutian Malaysia berkata mereka sebenarnya menghabiskan masa lebih lama.

Malah, 40.3% perancang meluangkan sehingga 20 jam untuk merancang satu perjalanan, manakala 35.5% menghabiskan 40 jam atau lebih.

Pengurus Besar Klook bagi Indonesia, Malaysia, Singapura dan Thailand, Sarah Wan berkata, setiap kumpulan biasanya mempunyai seseorang yang memikul tanggungjawab untuk memastikan rancangan percutian dapat direalisasikan.

“Kajian kami menunjukkan betapa banyak masa, usaha dan penyelarasan diperlukan untuk menjayakan sesebuah percutian, serta betapa kurangnya penghargaan yang sering diterima oleh perancang percutian,” katanya.

Bukan Sekadar Tempah Tiket Dan Hotel

Merancang percutian berkumpulan bukan hanya melibatkan tempahan penerbangan dan penginapan.

Antara cabaran terbesar yang dihadapi perancang percutian Malaysia ialah:

  • Menguruskan bajet kumpulan (63.1%)

  • Menyelaraskan jadual semua ahli kumpulan (45.0%)

  • Mengendalikan perubahan pada saat akhir (38.9%)

Selain itu, 65.1% perancang percutian berkata antara tanggungjawab utama mereka adalah memilih pengalaman yang sesuai dengan cita rasa berbeza setiap individu bagi mengurangkan perselisihan dalam kumpulan.

Tanggungjawab mereka juga tidak berakhir apabila percutian bermula. Lebih separuh daripada perancang percutian Malaysia masih perlu menguruskan tempahan, arah perjalanan dan urusan lain sepanjang perjalanan, termasuk memeriksa telefon mereka enam kali atau lebih setiap hari bagi memastikan semuanya berjalan lancar.

Walaupun ramai ahli kumpulan hanya menjawab, “Saya ikut sahaja” atau “apa-apa pun boleh”, perancang percutian sering menjadi individu yang perlu membuat keputusan.

Lebih 61.1% perancang percutian Malaysia pernah menerima komen seperti, “Saya boleh rancangkan perjalanan ini dengan lebih baik,” manakala 58.4% pernah ditanya, “Kenapa kita tidak buat yang ini sahaja?”

Selain itu, 50.3% juga pernah mendengar alasan seperti, “Itu di luar bajet saya.”

Dengan jumlah masa dan tanggungjawab yang dipikul, lebih 80% perancang percutian Malaysia merasakan masa mereka bernilai sekurang-kurangnya AS$50 (kira-kira RM205) sejam.

Bagi mereka yang menghabiskan antara 10 hingga 20 jam untuk mengatur perjalanan, nilai usaha perancangan tersebut boleh mencecah AS$1,000 (kira-kira RM4,100) sebelum perjalanan bermula.

Percutian Mungkin Takkan Jadi Tanpa Mereka

Kajian turut mendapati ramai perancang percutian percaya perjalanan berkumpulan tidak akan terlaksana tanpa usaha mereka.

Sebanyak 70.5% perancang percutian Malaysia percaya rancangan bercuti mungkin hanya kekal sebagai perbualan dalam kumpulan sembang tanpa seseorang yang mengambil inisiatif.

Manakala 67.8% berkata perjalanan kumpulan tidak akan berjalan lancar tanpa individu yang bertanggungjawab menyusun segala perancangan.

Walaupun menghabiskan masa berjam-jam mengurus jadual, bajet, perubahan saat akhir dan memastikan semua orang gembira, lebih 90% perancang percutian Malaysia merasakan mereka masih kurang dihargai atas peranan yang dimainkan.

Di sebalik setiap percutian yang menjadi kenangan manis, biasanya ada seseorang yang bekerja secara senyap untuk memastikan semuanya berjalan lancar.

Jadi, mungkin sudah tiba masanya untuk kita ucapkan terima kasih kepada “planner” dalam group chat yang selama ini memastikan setiap percutian benar-benar menjadi kenyataan.