Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Kali Pertama Raya Dengan Bayi Baru Lahir? Pakar Kongsi Panduan Buat Ibu Bapa

Aina Munirah
Raya Dengan Bayi Baru Lahir
Kredit: Bernama

Kali Pertama Raya Dengan Bayi Baru Lahir? Pakar Kongsi Panduan Buat Ibu Bapa

Menjelang Hari Raya yang bakal tiba, kebanyakan orang kini sibuk membuat pelbagai persiapan. Dari memilih baju raya sehingga menghias rumah, semuanya dilakukan dengan penuh teliti.

Dalam masa yang sama, Aidilfitri juga menjadi waktu untuk ahli keluarga berkumpul dan mengeratkan hubungan.

Suasana meriah ini pastinya dinanti-nantikan oleh ramai.

Namun, di sebalik kegembiraan tersebut, ada segelintir ibu bapa yang mungkin berdepan cabaran berbeza, terutamanya bagi mereka yang baru sahaja menimang cahaya mata.

Bagi ibu yang masih dalam fasa berpantang, sambutan Hari Raya boleh menjadi pengalaman yang agak mencabar.

Lebih-lebih lagi apabila menerima kunjungan tetamu dalam jumlah yang ramai.

Kehadiran si comel sudah pasti membuatkan ramai yang ingin mendekati.

Ada yang ingin menyentuh, mencuit pipi, malah tidak kurang juga yang mahu mendukung si kecil.

Dalam keadaan ini, ibu bapa sering berada dalam dilema untuk menjaga hati tetamu dan keselamatan bayi.

Namun, perlu diketahui, terdapat beberapa perkara yang perlu diberi perhatian oleh ibu bapa, serta ahli keluarga.

Panduan buat ibu bapa raya bersama bayi baru lahir

Menurut Pakar Runding Kanak-Kanak, Dr Nisa Khalil ketika ditanya SK, lima perkara penting ini perlu dititikberatkan oleh semua bagi memastikan kesihatan dan keselamatan bayi sentiasa terpelihara.

Pakar kanak-kanak, Dr Nisa Khalil

Ikuti perkongsian Dr Nisa berikut.

  1. Elak beri kebenaran bayi dicium

Situasi ini perkara yang sangat penting, namun ia paling kerap diabaikan.

Menurut Dr Nisa, bayi yang baru lahir mempunyai sistem imun yang belum matang.

Virus seperti Herpes Soimplex (HSV) dan RSV boleh disebarkan melalui ciuman ringkas walaupun ia daripada seseorang yang mungkin nampak sihat sepenuhnya.

Bagi bayi, jangkitan ini sangat mudah menjadi serius dengan sangat cepat.

Namun, mungkin ada berasa janggal untuk menegur mereka kerana risau menyinggung perasaan orang lain atau risau orang anggap kita berlebihan.

Mungkin dengan memaklumkan kepada tetamu bahawa doktor menasihatkan untuk tidak membiarkan anak anda disentuh sembarangan boleh menyelamatkan keadaan.

  1. Lindungi waktu tidur bayi, biarpun ketika beraya

Bayi yang baru dilahirkan biasanya memerlukan antara 14 hingga 17 jam tidur sehari.

Bila tidur mereka terganggu dengan bunyi bising, cahaya terang, orang ramai atau terlalu banyak rangsangan, ia bukan hanya membuatkan mereka meragam, malah turut melemahkan sistem imun mereka.

Jadi, apa yang boleh dibuat ialah dengan menetapkan satu bilik yang tenang sebagai zon selamat bayi.

Bila tiba waktu tidur, bayi akan dapat tidur, walaupun ruang tamu penuh dengan saudara-mara.

Letakkan tanda kecil di pintu jika perlu.

“Keluarga yang faham akan faham, yang tak faham kita terangkan dengan baik.

“Jangan rasa bersalah untuk buat ini. Anda bukan antisocial. Anda sedang menjadi ibu bapa yang baik,” pesannya.

Kredit: Bernama
  1. Hadkan individu yang boleh memegang bayi

Kredit: Bernama

Setiap tangan baharu yang memegang bayi akan meningkatkan pendedahan bayi anda kepada kuman.

Dr Nisa menegaskan, perkara ini bukan soal tidak mempercayai keluarga, hanya logik yang mudah.

“Hadkan kepada ahli keluarga terdekat sahaja, dan pastikan semua orang membersihkan tangan sebelum menyentuh bayi.

“Letakkan cecair pensatinasi tangan di tempat yang mudah dilihat. Pada masa yang sama, menjadi isyarat halus kepada tetamu tentang apa yang anda harapkan tanpa perlu berkata apa-apa,” ujarnya.

  1. Belajar untuk tahu isyarat bayi terlebih rangsangan

Bayi tidak dapat memberitahu had mereka tetapi ditunjukkan melalui tingkah laku. Antara tanda yang perlu diperhatikan ialah:

  • Menangis lebih daripada biasa tanpa sebab yang jelas

  • Menolak untuk menyusu

  • Sukar untuk ditenangkan walaupun jelas kelihatan penat

  • Terlalu mudah terkejut (excessive startle reflex)

Jika tanda-tanda ini dapat dilihat pada bayi anda, jauhkan si kecil daripada orang ramai.

“Jangan tunggu sampai mereka betul-betul meltdown ya. Sebaiknya kesan lebih awal, dan bertindak lebih awal.

“Naluri anda sebagai ibu bapa biasanya betul,” pesan Dr Nisa.

Kredit: Bernama
  1. Jaga diri anda juga

Ibu dan bapa juga perlu menjaga diri.

“Kalau anda jatuh sakit pada hari raya, siapa yang nak jaga bayi? Raya memang memenatkan dengan tidur tak menentu, makan tak teratur, emosi pun turun naik.

“Semua ini boleh melemahkan sistem imun anda juga. Minum air secukupnya dan makan walaupun sibuk,”

Dr Nisa turut berpesan kepada ibu bapa untuk dapatkan rehat secukupnya.

“Tidur bila bayi tidur walaupun ada tetamu di ruang tamu.

“Ahli keluarga yang benar-benar sayang anda pasti akan faham. Anda tak boleh jaga bayi dengan baik kalau diri sendiri pun tak terurus,” titip Dr Nisa mengakhiri perkongsian.