Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Kartel Daging: Beri Peluang Pihak Berkuasa Jalan Siasatan – Takiyuddin

Gambar: Bernama

ALOR SETAR, 31 Jan (Bernama) — Semua pihak perlu memberi peluang kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan dalam isu kartel daging haram, yang menimbulkan kegusaran dalam kalangan masyakarat ketika ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Takiyuddin Hassan berkata, pada masa ini siasatan oleh pelbagai agensi masih berjalan dan kerajaan belum menerima laporan hasil siasatan tersebut.

“Saya difahamkan pihak berkuasa telah mengambil tindakan untuk menyiasat perkara ini, pihak berkuasa seperti polis, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), sedang membuat siasatan sehingga ke akar umbi perkara ini.

“Kementerian yang terlibat adalah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, saya percaya menteri yang berkenaan akan mengumumkan mengenainya nanti,” katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis penyampaian cek sumbangan kepada pertubuhan bukan kerajaan dan badan kebajikan di Kedah, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Takiyuddin yang juga Menteri Penyelaras Antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Kedah juga memberi jaminan, bahawa tindakan mengikut undang-undang akan dikenakan terhadap mana-mana pihak yang terlibat dalam isu tersebut.

“Buat masa ini saya tidak boleh komen lanjut mengenainya, kita tunggu hasil siasatan,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan isu kartel daging import yang menyeludup daging sejuk beku dari luar negara sebelum membungkusnya semula menggunakan logo halal serta menjualnya di pasaran seluruh Malaysia.

— BERNAMA